Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Jika dulu dirinya selalu dihambat pelbagai kontroversi, kini Aliff Aziz mengakui dia teramat malu setiap kali mengingat kembali kekhilafan yang pernah dilakukannya dulu.

Penyanyi dan pelakon itu berkata dia bersyukur diberikan keinsafan dan dapat mengenali jemaah tabligh meskipun sedar akan kekurangan diri.

“Bila ingat balik, malunya aku. Tapi itulah sifat penyayang Allah SWT tunjukkan pada sesiapa saja yang dikehendakinya.

“Selama 30 tahun hidup, entah apa saya dah buat. Saya benar-benar berharap tak pernah lakukan apa yang saya lakukan sebelum ni. Pernah juga terfikir masa tu; kau dah jauh ni, macam mana kalau tiba-tiba mati?”

“Maha baik Allah, Dia buka jalan untuk mengenali rakan-rakan (jemaah tabligh), cuma saya tak tahu apa kelayakan dan sedar kekurangan diri. Namun saya bersyukur dengan apa yang dimiliki (hidayah) sekarang,” katanya.

Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Gegar Vaganza 8 (GV8) di Kuala Lumpur kelmarin.

Dia salah seorang daripada 12 peserta akan bertanding dalam program realiti itu yang dijadual bersiaran secara langsung melalui Astro Ria 21 November ini.

Penyanyi Kalau Cinta itu mengakui kesilapan dilakukannya dulu mungkin terjadi disebabkan dia selalu tidak puas dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya.

Sedangkan katanya, Allah tidak pernah berhenti memberi ‘rezeki’ kepada sesiapa bahkan terhadap orang yang tidak pernah bersyukur kepada-Nya.

“Dulu saya selalu rasa tak puas dengan apa yang ada. Sebenarnya, dah banyak nikmat Allah bagi cuma saya yang tak sedar.

“Bila dikenangkan, saya dah dapat isteri yang penyayang, rezeki makanan atas meja tak pernah putus, dikurniakan anak yang sihat serta Alhamdulillah, umi dan ayah masih sihat walaupun usia mereka dah lanjut,” katanya.

Untuk rekod, Aliff dilaporkan menyertai aktiviti tabligh pada Ogos lalu selepas mengetahui selebriti lain seperti Nabil Ahmad, Faizal Ismail, dan Saharul Ridzwan aktif mendalami ilmu agama.

Pun begitu kata Aliff, dia tidak boleh dianggap sudah baik kerana bimbang tiba-tiba tersasar daripada apa yang sedang diusahakannya sekarang.

“Saya harap dapat terus istiqamah. Istiqamah ni suatu perkara yang mahal.

“Perubahan ni bukan kerana orang lain dan saya belajar ia melalui cara yang sukar.

“Berubah kerana orang lain memang tak akan kekal sebab kita tak jadi diri sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS