Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bapa aktres mengaku tidak bersalah ugut guna pistol
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Bapa pelakon Nynaa Harizal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Shah Alam atas tuduhan ugutan menggunakan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, Harizal Hashom, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Reda Ahar Rezali hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Harizal didakwa menakutkan Mohamad Nur Usry Mohd. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZP-07.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pukul 1.40 pagi pada 2 November lalu.

Jika disabit kesalahan, Harizal boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kosmo Online melaporkan, Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM5,000.

Harizal adalah bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mempertimbangkan khidmatnya selama 25 tahun dengan TUDM bagi mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut.

Harizal turut memohon tempoh untuk perbicaraan akan datang kerana ketika ini dia sedang mengupah peguam bagi menguruskan proses perceraian anak perempuannya secara baik.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember untuk tarikh sebutan semula.

Media sebelum ini melaporkan suami kepada pelakon Kekasih Paksa Rela itu membuat laporan polis mendakwa isterinya diculik bapa mentuanya, Harizal Hashim pada 1 November lalu.

Difahamkan, kejadian terbabit berlaku sewaktu di set penggambaran sebuah drama di daerah ini sebelum bapa mentuanya bertindak ‘menculik’ isterinya untuk tujuan berubat.

Ibu dan bapa mentuanya serta abang iparnya dikatakan datang ke set penggambaran sebelum wanita itu bertindak menarik isterinya masuk ke dalam kereta serta membawanya pergi.

Lebih mengejutkan apabila bapa mentuanya itu didakwa mengacukan sepucuk pistol ke arah perut pengawal peribadi Nynaa sambil memberi amaran dia akan melepaskan tembakan jika menghalangnya untuk mengambil pelakon terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS