Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Rasa sangsi orang Malaysia terhadap karya seni tempatan hanya akan dapat diubah apabila pihak yang berkenaan menghasilkan karya yang 'sedap.'

Pada masa sama, pelakon, penyanyi dan pengacara Zizan Razak berpendapat penonton tidak patut dipersalahkan jika mereka bersikap skeptikal mengenai sesebuah karya, termasuk selepas melihat melalui poster naskhah itu saja.

Kata Zizan, jika sesuatu naskhah dihasilkan memiliki kualiti yang sepatutnya, pasti ia tidak sukar untuk menambat hati penonton.

“Kalau cerita tak menarik, penerbit atau pengarah tak boleh nak salahkan orang ramai, sebab semua orang ada cita rasa sendiri, macam makanan.

"Kalau makanan kita tak sedap dan orang tak suka, takkan kita nak paksa orang makan juga,” katanya.

Zizan berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media bagi mengumumkan kerjasama Astro dan Netflix di PJPAC Bandar Utama semalam.

Mengulas lanjut, Zizan yang nama sebenar Muhammad Razizan Abdul Razak itu berkata, semuanya berbalik pada kualiti.

“Apabila kita persembahkan kualiti yang baik, orang tentu akan suka,” katanya.

Menurut pelakon KL Gangster itu, penggiat seni juga sepatutnya mengkaji kekurangan atau kelemahan karya mereka serta membuat penambahbaikan yang sewajarnya.

Tambah Zizan, seseorang pembikin filem atau drama tidak sepatutnya terlalu mengejar untuk menyaingi filem dari Hollywood atau Korea Selatan sedangkan banyak lagi kandungan tempatan yang belum diteroka.

Justeru, katanya, pengeluar karya tempatan perlu kaji dan belajar lagi apa yang perlu diperbaiki.

“Kita juga ada budaya, permainan tradisional dan makanan yang boleh dicuba oleh orang luar tapi kita belum cuba gabungkan ia di skrin.

“Kita selalu nak kejar untuk hasilkan filem seperti Hollywood atau K-pop tapi bajet tak ada, maka macam mana?

“Cuba lihat bagaimana siri Squid Game boleh mengangkat beberapa permainan tempatan hingga mendapat sambutan hangat di seluruh dunia, mereka bawa budaya dan makanan mereka dalam karya dan ia berjaya mempengaruhi ramai orang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS