Penyanyi rap MK memberi jaminan sekalipun dirinya dihujani pelbagai tawaran dalam bidang lakonan selepas ini, dia tidak akan meninggalkan kumpulan K-Clique yang melonjakkan namanya dalam arena seni tanah air.
Bagi MK - yang kini bergelar pelakon - K-Clique disifatkan seperti “rumah” buatnya, justeru dia tidak dapat membayangkan dirinya akan membuang sesuatu yang sangat berharga.
“Saya seronok berlakon, timba pengalaman baru, namun K-Clique takkan berpecah, sebab tu adalah rumah besar kami.
“Dan saya pula tak akan sesekali dapat meninggalkan atau melupakan rumah yang mengetengahkan nama hingga kini,” katanya.
MK yang nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan, berkata, sebagai bukti, kumpulan hip hop yang ditubuhkan pada 2014 itu bakal muncul dengan sebuah album baru tahun depan.
“K-Clique dalam proses menyiapkan album yang bakal memuatkan 20 lagu termasuk lagu solo masing-masing,” katanya.
MK berkata demikian ditemui pada majlis pelancaran 2 Juta Bangkit Belajar dan pelantikan dia sebagai duta jenama popular dunia pembelajaran, PTTI baru-baru ini.
MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, anggota kumpulan K-Clique yang semakin mencuri perhatian apabila didatangi pelbagai tawaran termasuk menjadi duta dan wajah kempen.
Bagaimanapun, apabila diminta mengulas dakwaan wajahnya mungkin kian menjadi rebutan penerbit dan stesen televisyen sekarang, MK menjawab dia tidak tahu menahu soal itu.
Sebaliknya, MK menyifatkan apa yang diterimanya adalah rezeki.
“Itu saya tak tahu. Tapi apa boleh saya luahkan adalah saya amat bersyukur kerana diberi laluan yang mudah dan peluang untuk melebarkan sayap,” katanya.
Diminta mengulas perjalanan karier lakonannya, MK berkata, dia masih baru berjinak-jinak dalam bidang itu dan berharap dirinya tidak dilabel sebagai pelakon ‘kayu.’
Kurang pengalaman
MK yang muncul melalui drama bersiri The Hotel dan Oh My Hantaran sebaliknya hanya menganggap dia kurang pengalaman.
“Setakat ni saya belum terima kritikan yang keterlaluan atau melunturkan semangat mengenai cara lakonan saya. Setakat yang kata saya ‘kayu’ tu adalah.
“Diharap suatu hari gelaran sebegitu itu akan dilupakan sebab saya akan cuba memperbaiki mutu lakonan dari masa ke semasa,” katanya.
Pada masa sama, MK berharap jika peluang sama juga ditawarkan kepada anggota K-Clique yang lain.
“Saya mendoakan agar rakan-rakan lain dapat peluang yang sama. Jika diberi ruang untuk berlakon bersama-sama tentu menarik,” katanya.