Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Syamel tidak sengaja terlepas cakap dia dan isterinya, Ernie Zakri bakal menimang anak perempuan sewaktu mengadakan persembahan Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya (IB), di Istana Budaya.

Kata penyanyi itu, memang pada awalnya dia dan Ernie berniat ingin merahsiakan berita gembira tersebut namun tidak mampu mengawal keterujaannya sebaik berada di pentas.

“Kalau diikutkan, memang saya dan Ernie, akan umumkan jantina anak kami pada masa yang dirasakan bersesuaian kelak.

“Tapi entah macam mana, tiba-tiba saya tak sengaja mendedahkan berita tu. Mungkin saya terlalu seronok bila berdepan penonton.

“Mana taknya, hampir dua tahun saya tak buat persembahan pentas akibat perintah kawalan pergerakan,” katanya yang ditemui selepas konsert itu yang berakhir kelmarin.

Pemilik nama penuh Syameel Aqmal Mohd Fodzly itu berharap dia tidak merosakkan sebarang perancangan sekiranya isterinya berhasrat ingin mengadakan majlis menyambut kelahiran bayi (baby shower).

Ernie pula mengakui dia terkejut dengan aksi spontan Syamel, 27, namun sedikit pun tidak menyalahkan suaminya itu.

Katanya, dia memahami keterujaan Syamel yang bakal menjadi seorang bapa baru.

“Setakat ni belum ada sebarang perancangan untuk mengadakan majlis menyambut kelahiran bayi, justeru, taklah rasa terkilan bila Syamel umumkan jantina anak lebih awal,” katanya.

Syamel dan Ernie berkata, mereka sudah menyenarai pendek beberapa nama yang sesuai untuk bayi mereka. Namun, perkara itu belum boleh dikongsikan setakat ini.

Pasangan itu berkahwin pada 26 Mac lalu selepas berkenalan sejak 2017. Mereka sebelum itu bertunang pada Ogos tahun lalu.

Pasangan yang popular dengan lagu Aku Cinta itu dijangka menimang anak sulung mereka pada Mac tahun depan.

Sementara itu, diminta mengulas persediaannya untuk bergelar ayah, Syamel berkata dia menjadikan bapa mentuanya sebagai rujukan.

“Memang boleh saja buat carian di Google atau YouTube, tapi saya rasa, seseorang bapa baru harus menggunakan rujukan yang lebih dekat dengan dirinya terlebih dulu.

“Saya akui, bapa mentua memang banyak membantu dari segi persediaan untuk menyambut kelahiran anak kami.

“Lepas ni, saya harus bersiap sedia tak cukup tidur sebab perlu jaga dua puteri,” katanya berseloroh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS