Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Komik Undi18 bukan propaganda politik tapi galakkan undi

Setiap persoalan pengundi muda sepatutnya boleh dijawab dengan membaca komik Undi18, kata penulis dan penerbitnya, Irfan Foner.

Bahkan, menurut Irfan, penghasilan buku itu bukan berbentuk propaganda sebaliknya bertujuan menyediakan remaja agar mereka memiliki kesedaran berpolitik yang bersih.

“Ketika awal-awal penghasilan komik ni memang kami tetapkan supaya cerita dipaparkan mesti menjawab pelbagai persoalan pengundi muda.

“Apa yang kami percaya ialah, remaja dan golongan awal dewasa perlu diberi panduan bagaimana memilih calon yang betul, atas pertimbangan apa dan bagaimana bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Selain itu, Undi18 juga menanam rasa tanggungjawab bahawa dalam setiap undi memberi impak pada negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Irfan, buku itu sesuai dibaca dan diulang baca oleh pengundi pertama kali, pengundi atas pagar dan pengundi yang mahukan perubahan.

Kata Irfan, 29, antara persoalan dirungkaikan dalam Undi18 adalah:

1.Kenapa perlu mengundi?

2. Siapa perlu diundi?

3. Bagaimana jika sudah putus asa dengan drama politik negara?

4. Bolehkah kalau tak mengundi?

Pada 3 November lalu, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik mencadangkan komik Undi18 antara wahana yang digunakan untuk mendidik anak-anak muda agar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika mencelah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat bagi membincangkan perkembangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan Undi18, ahli parlimen Simpang Renggam itu meminta Suruhanjaya Pilihan Raya mempertimbangkan komik itu sebagai sebahagian daripada program kesedaran untuk mengundi.

Menurut Irfan, medium komik dipilih sebagai solusi atas beberapa faktor.

“Budaya komik sudah sinonim dalam kalangan remaja malah kosnya lebih murah serta mudah disebarkan ke serata tempat terutama di pedalaman.

“Kita mungkin boleh menyediakan kandungan begini melalui video, poster infografik, atau ceramah, namun saya percaya, medium komik lebih memberi kesan pada nilai dan tanggungjawab pembaca memandangkan ia ada cerita dan pembaca lebih melibatkan diri dengan kandungan komik,” katanya.

Irfan bersama Maszlee

Justeru, katanya, Undi18 menggunakan watak pengundi berumur 18 tahun sebagai watak utama supaya pembaca boleh mengaitkan diri mereka dengan isu yang diketengahkan.

Bahkan menurut Irfan, bendera kepartian dalam komik itu juga dihasilkan secara rawak.

“Kami guna warna ungu, hitam dan kuning tanpa menjadi simbolik kepada apa-apa parti politik di Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS