Pihak polis sedang menyiasat mengenai dakwaan usahawan kosmetik yang melarikan diri ke Australia, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman bahawa dirinya dicabul oleh anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan
"Kami sedang meneliti dakwaan yang dibuat Sajat dan juga laporan polis yang dibuat oleh penguat kuasa JAIS mengenai dakwaan berkenaan," katanya yang dipetik oleh Bernama pada sidang media khas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Sajat mendakwa dikasari dan dicabul penguat kuasa JAIS semasa beliau dipanggil untuk memberi keterangan pada Januari lalu.
Dalam pada itu, Abd Jalil berkata polis juga sedang menunggu pengesahan daripada kerajaan Thailand dan Australia berhubung keberadaan sebenar lokasi Sajat.
"Kedutaan Malaysia di Australia dan Thailand telah mengemukakan permohonan rasmi dan kita sedang menunggu jawapan daripada mereka," katanya.
Pada sidang media itu, Bernama juga memetiknya sebagai berkata polis telah menahan 81,442 individu di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan pelbagai kes perjudian bagi tempoh 2019 hingga 31 Okt lepas.
Abd Jalil berkata dalam tempoh yang sama juga, polis turut merampas wang tunai lebih RM24 juta dalam serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen.
Beliau berkata polis juga turut menyerbu premis loteri awam tanpa lesen yang serbuan tertinggi melibatkan sebanyak 11,491 serbuan pada 2019, bagi 2020 sebanyak 8,324 serbuan dan 9,561 serbuan pada tahun ini.
"Dalam hal ini, PDRM turut memeriksa premis-premis perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan dan hasil pemantauan pihak kami mendapati operator judi berlesen mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan.
"Berdasarkan rekod terdapat 161 operator perjudian berlesen melibatkan sebuah kasino, 72 kelab syarikat dan 88 kelab persatuan,” katanya.