Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ahmad Idham Ahmad Nadzri tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila impiannya untuk diberi peluang memajukan lagi industri kreatif negara termakbul melalui pelantikannya secara rasmi sebagai Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar Negeri, hari ini.

Kata bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, dia akan cuba melakukan yang terbaik sepanjang diberi amanah dalam memegang jawatan itu oleh Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah.

“Inilah salah satu impian saya iaitu untuk menggerakkan lagi industri kreatif negara apatah lagi diberikan kepercayaan di bawah diplomasi seni dan budaya.

“Sudah tentu, bidang kuasa itu lebih besar. Dan harapan saya agar kita boleh capai impian dan cita-cita selama ini untuk mengantarabangsakan budaya, produk tempatan dan bakat kita.

“Justeru, bila ditanya mengenai keterujaan itu, ia amatlah membuak-buak. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk seluruh industri kreatif dan kebudayaan yang ada di Malaysia,” katanya.

Ahmad Idham, 47, berkata, keterujaan itu hadir kerana jawatan itu satu lonjakan baru dalam perjalanan karier yang diceburi selama ini.

“Akhirnya terjawab juga persoalan kebolehan sama ada dalam filem saja atau selainnya.

“Dari sudut pengurusan, kriteria itu bergerak dari pelbagai laluan begitu juga sewaktu di Finas,” katanya.

Ahmad Idham berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang media pelantikannya ke jawatan itu yang berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu, Saifuddin mengumumkan pengarah dan penerbit itu dilantik sebagai Setiausaha kebudayaan, Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra berkuatkuasa hari ini.


Selain Ahmad Idham, turut dilantik dalam satu kementerian tetapi sebagai Perunding Kreatif ialah penerbit dan pelakon Eizlan Yusof.

Saifuddin berkata, Ahmad Idham dilantik kerana dia mempunyai pengalaman luas selama 25 tahun dalam industri kreatif termasuk pernah memenangi anugerah antrabangsa di Pesta Filem Chunsa Korea pada 2018.

Menurutnya, Eizlan pula dilantik kerana kebolehannya yang tidak asing lagi dalam industri dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Eizlan berkata, pelantikannya itu ibarat satu ruang dan peluang untuk membuka pasaran domestik lebih luas bukan saja dalam bidang filem tapi merangkumi keseluruhan industri muzik dan kebudayaan.

“Bila diberi peluang oleh menteri, saya akan mengorak lebih agresif dan maju berdaya saing untuk bawa produk kita ke ruang lebih besar lagi iaitu di persada antarabangsa.

“Insya-Allah saya akan pikul amanah ni sebaik mungkin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS