Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun tindakan kerajaan memberi suntikan kepada industri kandungan kreatif melalui Belanjawan 2022 dianggap wajar, masih terdapat keperluan untuk memantau bagaimana dana itu diagihkan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Freddie Fernandez berkata pihaknya berharap peruntukan itu diberi khususnya kepada pihak yang mempunyai kemampuan untuk menerbitkan kandungan kreatif dan mengkagumkan.

“Selepas hampir dua tahun terkesan dan menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 kami anggap tindakan kerajaan untuk memberi suntikan ini kepada industri kandungan kreatif adalam amat sesuai.

“Ia akan menjana pendapatan tinggi kepada penerbit dan semua tenaga kerja yang terbabit,” katanya kepada Malaysiakini.

Menteri Kewangan, Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM188 juta bagi meneruskan pelbagai inisiatif dalam sektor industri kreatif bagi memacu pemulihan ekonomi.

Selain itu, katanya sebanyak RM50 juta pula diperuntukkan untuk Program Riuh Keluarga Malaysia (RM20 juta) dan Platform Animasi Negara (RM30 juta) serta Geran Padanan Program berkaitan Seni (RM50 juta).

Kata Freddie, sudah tiba masanya kerajaan memastikan peningkatan kualiti isi kandungan yang diterbitkan melalui dana tersebut agar ia mencapai tahap yang boleh diterima pasaran antarabangsa dan bukan mendapat sambutan di Malaysia saja.

“Jika berlaku, ini membolehkan isi kandungan digital Malaysia dikenali di negara luar dan akan menjana pendapatan melalui pertukaran wang asing.

“Kita harus ikut contohi negara seperti Korea dan Jepun, dua negara Asia yang cemerlang dalam isi kandungan kreatif dan mendapat pasaran yang cukup luas untuk produk-produk mereka,” katanya.

Menurut Freddie, pada masa yang sama Karyawan juga menghargai peruntukan skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada penggiat seni yang mungkin menghadapi kesukaran akibat kehilangan mata pencarian mereka, khususnya sewaktu perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan hampir dua tahun.

“Pembiayaan Perkeso untuk penggiat seni sedikit sebanyak akan meringankan beban penggiat industri yang tak dapat meneruskan kerja semasa negara menghadapi pandemik.

“Pada keseluruhannya, kami anggap langkah kerajaan suatu yang amat positif apatah lagi pada masa industri sedang berusaha untuk pulih daripada kegawatan yang kami alami,” katanya.

Pengecualian cukai untuk persembahan seni dan budaya juga, jelas Freddie merupakan sesuatu yang dialu-alukan kerana akan membantu pemulihan industri konsert dan seni persembahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS