Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
MyCreative yakin inisiatif Belanjawan 2022 percepat pemulihan sektor seni, budaya
Diterbitkan:  Oct 30, 2021 10:36 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menyambut baik peruntukan RM288 juta untuk pelbagai inisiatif merancakkan industri kreatif melalui pembentangan bajet 2022.

Pengerusi MyCreative Ventures Noor Azmi Mat Said berkata inisiatif ini akan mempercepatkan pemulihan sektor kreatif, seni dan budaya yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 serta mengakibatkan lebih 90 peratus penggiat industri mengalami kehilangan atau kekurangan sumber pendapatan.

“Di bawah Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk Program RIUHKeluarga Malaysia (RM20 juta) dan Platform Animasi Nasional (RM 30 juta) melalui Kumpulan MyCreative (MyCreative Ventures, Cendana dan RIUH).

“Peruntukan RM20 juta kepada Kumpulan MyCreative untuk pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Program RIUH Keluarga Malaysia akan merancakkan industri dan dijangka dapat mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan.

“MyCreative turut mengalu-alukan pembiayaan RM30 juta untuk menubuhkan Platform Animasi Nasional yang bertujuan mengangkat industri animasi tempatan ke persada antarabangsa,” katanya pada satu kenyataan.

Menurut Noor Azmi, inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 ini menunjukkan sokongan berterusan dan komitmen kerajaan untuk memperjuangkan industri kreatif.

“Ia akan membantu memacu pertumbuhan selanjutnya bagi ekonomi jingga Malaysia untuk merealisasikan potensinya menyumbang RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam RMK-12,” katanya.

MyCreative, sebuah syarikat pelaburan kerajaan ditubuhkan untuk memacu industri kreatif Malaysia melalui inisiatif yang disusun secara strategik dan bantuan pembiayaan inovatif dalam bentuk pinjaman atau pelaburan ekuiti.

Diperbadankan pada 2012, ia merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) melaporkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan misi untuk memperhebatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat berkata sebanyak RM188 juta diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif, antaranya Geran Kandungan Digital, Projek Multimedia dan Kandungan Digital, Inisiatif Filem dan program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Skim Perkeso Keselamatan Sosial untuk artis.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta geran padanan untuk organisasi yang melaksanakan inisiatif seni dan budaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Junady Nawawi berkata untuk mencapai objektif dan aspirasi yang digariskan dalam Belanjawan 2022 dan rancangan Malaysia ke-12, strategi yang merangkumi Pemulihan, Ketahanan dan Pembaharuan, perlu dijadikan asas bagi pertumbuhan mampan industri kreatif.

“Kami berusaha untuk menjadi agensi peneraju bagi sektor kreatif Malaysia dan akan terus menghimpunkan semua sektor kreatif Malaysia dengan menyuntik pemikiran inovatif, inisiatif tersusun dan pembiayaan inovatif, untuk menyelami cabaran penggiat industri, memberi tambahan nilai yang lebih inklusif dan membuka peluang untuk semua.

“Insentif Pendaftaran e-Perolehan iaitu diskaun yuran RM150 untuk menggalakkan perniagaan SOHO dan Co-working Space serta pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan yang merangkumi taman tema dan pawagam di Wilayah Persekutuan akan membolehkan pengecualian cukai pelancongan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022.

“Ini akan membantu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi jingga (kreatif). Pihak berkuasa negeri juga digalak memberikan pengecualian duti hiburan bagi menyokong pemulihan sektor ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS