Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sebutan masih kurang jelas, Iman Troye akui kelemahan

Meskipun mengakui sebutannya kurang jelas sewaktu menyebut bait-bait lirik yang dinyanyikan, Iman Troye berharap kelemahan itu dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dia juga berharap, masalah yang dihadapi itu tidak akan menghalang peminat untuk terus menyokong perjalanan karier seninya sebagai penyanyi.

“Ya, saya akui sebutan kurang jelas dan ia memang kelemahan saya. Tapi saya janji untuk berusaha memperbetulkan dan tidak mengulangi kesilapan,” katanya.

Menurut Iman, segala kritikan dan teguran diterima dengan hati yang terbuka serta dia bersyukur apabila ada pihak yang ingin menegur kerana itu menunjukkan mereka prihatin.

“Saya bersyukur bila buat silap ada yang perasan dan ambil tahu. Bagi saya, ada orang masih fikir pasal saya dan menyayangi saya,” katanya.

Iman berkata demikian pada majlis pelancaran 2 Juta Bangkit Belajar dan pelantikan dia sebagai duta jenama popular dunia pembelajaran, PTTI, serta pelancaran single terbarunya Nang di sebuah hotel di ibu negara kelmarin.

Turut dilantik sebagai duta ialah penyanyi rap, MK-K-Clique.

PTTI mempunyai misi untuk membantu pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang terkesan akibat pandemik untuk kembali bangkit dan fokus pada pembelajaran semasa fasa peralihan endemik.

Cuba jadi yang terbaik

Terdahulu, selepas menerbitkan Teman dan Pejam Celik Hari Raya, Iman atau nama asalnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin tampil dengan single terbaru berjudul Nang.

Karya menggabungkan genre pop dan klasik hasil ciptaan Ezra Kong dan A Ramlee itu diterbitkan di semua platform digital bermula 15 Okt lalu.

Bagaimanapun, segelintir netizen mula melontarkan rasa tidak puas hati mengenai sebutan penyanyi itu yang kurang jelas pada ruang komen laman YouTube yang memaparkan video muzik Nang.

Kata Iman, 18, sesuatu teguran amat penting untuk mana-mana penyanyi baru sepertinya yang ingin terus maju.

“Memang saya banyak buat silap. Saya cuba belajar dari kesilapan dan cuba jadi terbaik,” katanya.

Untuk rekod, biarpun baru setahun berkecimpung dalam dunia seni suara, Iman - yang bernaung di bawah label XO House - berjaya mencatat 4x platinum, bersamaan dengan RM1 juta ringgit dalam jumlah Talent Management Revenue.

Walaupun lagu-lagunya menjadi hit, Iman berasakan dirinya belum layak untuk beraksi di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

Katanya, perjalanannya untuk bergelar penyanyi seperti Ernie Zakri atau Aina Abdul masih jauh kerana banyak kelemahan dari segi nyanyian yang perlu diperbaiki.

“Allahuakbar. Yang itu (AJL) belum terfikir lagi. Sejujurnya, saya rasa diri ni belum layak kerana masih bertatih, merangkak dalam bidang muzik.

“Dan ramai orang bercakap pentas AJL hanya untuk orang yang betul-betul layak. Tapi sekiranya ditakdirkan itu rezeki, saya akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya sebagai duta PTTI, Iman berkata, dia akan menggunakan pengaruhnya untuk menarik lebih ramai pelajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan terutama Sijil Pelajaran Malaysia.

“Sekarang kita tengok ramai pelajar yang struggle berhadapan dengan ODL (open and distance learning), saya sendiri pun ODL, saya tahu macam mana payahnya mereka semua untuk belajar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS