Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Setuju kru diuji air kencing, Michael cadang bincang menyeluruh

Walaupun enggan mencampuri urusan peribadi mana-mana kru di luar set penggambaran, Michael Ang tetap memandang berat isu penyalahgunaan dadah dalam produksi kendaliannya.

Justeru, kata penerbit dan pengarah terkenal itu, dia bersetuju cadangan persatuan untuk mewajibkan laporan ujian air kencing bagi mengelak kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan kru produksi.

“Saya paling pantang jika timbul hal berkaitan dadah dalam produksi saya. Saya sudah beri amaran pada kru, jangan sengaja cari pasal di set penggambaran.

“Saya tak nak ambil tahu bagaimana kehidupan mereka di luar sana. Janji semasa ikuti penggambaran dengan produksi saya, mereka perlu hormat orang lain yang sama-sama mencari rezeki di satu tempat kerja.

“Saya setuju sekiranya ujian air kencing dilakukan sebelum kru masuk lokasi penggambaran,” katanya.

Michael yang mengutamakan suasana industri seni lebih sihat berkata, langkah itu demi memastikan nama produksi tidak dipandang serong serta pada masa sama, pendapatan mereka yang terbabit penggambaran juga tidak terjejas.

“Kalau kena, bukan kau seorang, tapi akan jejaskan nama dan periuk nasi orang lain. Secara tak langsung semua akan terjebak, pasti ada yang akan pandang serong pada produksi terbabit.

“Jika seorang kena tangkap sebab penyalahgunaan dadah, pasti nama kru yang lain turut tercemar,” katanya.

Michael berkata demikian pada sidang media pengumuman drama Sihir, arahannya yang diadakan secara maya semalam.

Drama genre seram dibintangi pelakon antaranya Kamal Adli, Hun Haqeem, Zarul Umbrella, Sharifah Shahora itu dijadual menemui penonton bermula 1 November ini. Ia akan disiarkan Isnin hingga Khamis melalui saluran Astro Ria, jam 11 malam.

Selain Michael, Sihir turut diarahkan oleh Hun, Kamal dan Azmir Effendi.

Terdahulu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khir Mohd Noor mencadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperketatkan permohonan mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dengan mewajibkan laporan ujian air kencing bagi mengelak kes penyalahgunaan dadah dibantah penggiat seni yang lain yang beranggapan ia remeh dan mengarut.

Michael mengakui, perbincangan secara menyeluruh perlu dilakukan kerana ketika ini produksi sudah pun terbeban dengan kos ujian calitan Covid-19.

“Sekarang saya banyak program dengan Astro dan ada cadangkan supaya pastikan kru serta pelakon yang terbabit tidak terpalit dengan isu sebegini.

“Pada masa sama, saya faham untuk buat ujian air kencing tu semuanya melibatkan kos. Sudahlah sekarang penerbit perlu tampung kos ujian calitan (Covid-19).

“Jika nak tambah satu lagi ujian, kita kena fikirkan jalan yang bersesuaian. Pelaksanaan seperti ini bukan sesuatu yang kita boleh terus buat, perlu duduk berbincang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, agensi itu mengambil maklum cadangan Profima untuk mewajibkan ujian air kencing ke atas kru sebelum memasuki sesi penggambaran bagi menangani kes penyalahgunaan dadah.

“Cadangan seperti itu memberi indikasi persatuan amat prihatin membantu kerajaan membenteras penagihan dadah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Namun, menurutnya, setakat ini Finas belum memutuskan sebarang cadangan memandangkan SOP yang sudah dikuatkuasakan agak ketat dan memadai.

“Saya menyeru kerjasama penerbit produksi supaya memastikan kru yang diambil bekerja bebas daripada sebarang gejala dadah.

“Penguatkuasa Finas akan bekerjasama secara berkala dengan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia bagi memantau lokasi penggambaran agar bebas dadah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS