Setelah tiga tahun menyulam percintaan, Pasangan pelakon Sweet Qismina dan Adam Lee mengikat tali pertunangan.
Majlis itu berlangsung petang semalam di sebuah rumah di Ampang dan hanya dihadiri 20 ahli keluarga masing masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Bertemakan putih dan songket, majlis pertunangan itu juga disambut pada hari sama ulang tahun kelahiran pemilik nama Farhanna Qismina Supandi yang ke-24 tahun.
“Ini bukan babak penggambaran drama, tapi memang kami betul-betul bertunang,” katanya yang jelas teruja.
Kedua-duanya yang turut menjadi calon top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu memuat naik gambar pertunangan mereka di Instagram.
Pada majlis berkenaan, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Adam.
Menurut calon Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama kekasihnya dalam drama Bidadari Salju itu, majlis berkenaan sebenarnya sudah lama dirancang.
“Kebetulan pula ia terjadi ketika perang kempen ABPBH 34 sedang berlangsung. Jauh sekali gimik, tapi sebenarnya rezeki.
“Lagipun peminat kami sudah lama menanti ada ikatan terjalin. Begitu juga peminat dari Indonesia yang bertalu-talu tanya 'kapan' (bila) mahu ada ikatan sah.
“Jadi ini sebagai mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya lagi.
Sweet berkata, mereka mengikat tali pertunangan selama setahun.
“Perancangan atau keputusan nak kahwin bila tu belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini dulu.
“Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Jadi ini juga masa untuk kami bekerja semula,” katanya.