Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.
“Arwah pengsan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini.
Punca kematian tidak dapat diketahui namun difahamkan akibat serangan jantung.
Selain menumpukan masanya dalam bidang perfileman, arwah juga merupakan pemilik kafe Sarang Art Hub yang dibuka di Tanjung Malim sejak 2016.
Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, adalah seorang penulis skrip dan pengarah filem selain merupakan adik kepada kartunis terkenal negara Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.
Merupakan anak jati Ipoh, dia meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa, Sara dan Nurhassanah.
Antara filem air tangan arwah yang terkenal pastinya adalah Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah, Rock dan 18 Puasa di Kampong Pisang yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat filem genre lucu dan hiburan keluarga.