Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bukan melarikan diri, sebaliknya Shuk Sahar memilih mengunci mulut untuk mengelak berlaku salah faham apabila dia terus terpalit isu jenaka rogol membabitkan pelakon Fauzi Nawawi.

Kata pelawak dan pengacara itu, dia enggan tersalah cakap apabila memberi ulasan mengenai isu terbabit.

“Saya tak nak ulas isu ni lebih lanjut. Bukan nak larikan diri, tapi isu ni babitkan banyak pihak dan bukan saya seorang sahaja.

“Saya risau sekiranya tersalah cakap atau terlebih cakap, apa yang dilontarkan nanti boleh nenberi kesan kepada pihak lain,” katanya yang enggan mengeruhkan lagi keadaan.

Shuk atau nama penuhnya Mohammad Shukri Mohamed turut dikecam kerana dituduh menjadi penyebab Fauzi membuka perkongsian yang mencetus kontroversi tersebut.

Permintaan Shuk agar Fauzi memperincikan babak 'panas' itu menimbulkan kemarahan netizen hingga mereka mengancam untuk tidak menyokong lagi kariernya selepas ini.

Terdahulu, sebuah klip video lama memaparkan Fauzi bercerita adegan rogol lakonannya dalam Anak Halal didakwa disunting sebelum ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Pengguna alam maya tidak berpuas hati dan mendakwa program berkenaan tidak wajar disiarkan memandangkan kandungan yang membicarakan isu rogol sebegitu dianggap tidak sensitif.

Raja Farah Raja Aziz turut menyelar perbuatan berkenaan dan menganggap komen-komen diluahkan dalam program itu tidak menghormati dirinya sebagai wanita, ibu dan isteri.

Fauzi, 48, bagaimanapun sudah memohon maaf di atas keterlanjurannya berkata-kata kepada aktres terbabit dan suaminya. 

Untuk rekod, hari ini Astro Warna tampil memohon maaf ekoran kontroversi klip video daripada program terbitannya iaitu Rumah No 107 itu.

Menurut kenyataan Astro Warna, saluran itu berpegang kepada prinsip untuk tidak berkompromi dengan hal-hal berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi ke atas wanita, sama ada dari segi perbuatan mahupun lisan. 

Shuk, 35, juga memohon maaf selain berjanji akan lebih berhati-hati semasa tampil bersiaran dalam mana-mana program selepas ini.

“Dengan rasa rendah hati saya mohon maaf kepada semua pihak yang tergores selepas menonton program tu.

“Insya-Allah, selepas ni saya akan lebih berhati-hati dalam setiap kandungan program dan percakapan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS