Meskipun berskala kecil, pengarah Syafiq Yusof masih perlu berhati-hati apabila menampilkan filem Penunggang Agama 2 yang mengetengahkan elemen berlainan agama sebagai kesinambungan naskhah pertama.
Katanya, demi mengelakkan risiko di luar jangka, dia meminta pandangan pihak agamawan seperti paderi dan ustaz sebelum meneruskan penggambaran buah tangan terbarunya itu.
“Saya cuba memberikan persembahan terbaik dan lebih mengujakan. Walaupun filem ni dalam skala kecil, saya harus tunjukkan kelainan.
“Bagi saya, memang agak mencabar untuk hasilkan kisah yang memaparkan dua elemen agama berbeza dalam sebuah naskhah.
“Saya banyak meminta nasihat dan pandangan seorang ustaz manakala untuk perspektif agama Kristian, saya merujuk seorang paderi sewaktu menjalani penggambaran di Cameron Highland,” katanya.
Syafiq (gambar, bawah) berkata demikian pada sidang media pengumuman Penunggang Agama 2 yang dijalankan secara maya hari ini.
Naskhah itu menampilkan pelakon seperti Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Tony Eusoff, Salina Saibi, Johan As'ari, Rahim Razali, Sharifah Aisyarha, Anna Jobling, Puteri Nurqaseh dan Burhan Sidqi.
Filem itu dijadual menemui penonton di saluran Astro First bermula 19 Oktober ini.
Penunggang Agama 2 berkisahkan watak Amir lakonan Zul dan Anna (Azira) yang diganggu oleh Huda (Salina) akibat dendam lama.
Pada masa yang sama, seorang anak murid Anna bernama Anim (Sharifah) hilang secara tiba-tiba sejurus pulang dari kelas mengaji yang dikendalikan oleh Anna.
Amir pula mula obses dengan kerja sampingannya, iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan yang diterima.
Kehebatan Amir dalam menyembuhkan pesakitnya juga turut tular di media sosial dan hal itu membuatkan dia semakin selesa dengan gelaran ustaz.
Bagaimanapun, kehadiran seorang paderi bernama Father Michael (Tony) yang turut sama mencari Anim yang hilang mencabar ego dan kredibiliti Amir.
Menurut Syafiq, dia juga enggan terlalu memperincikan hasil kerjanya itu demi mengelak kontroversi yang tidak diingini.
“Saya sengaja buat tidak terlalu terperinci untuk bahagian yang menyentuh soal agama dan kitab. Saya lebih menumpukan pada visual saja.
“Saya amat berhati-hati untuk penceritaan dan skrip. Ustaz dan paderi masing-masing bersetuju selepas ditunjukkan skrip akhir.
“Saya tak mahu cetus kontroversi. Jika nak tahu lebih lanjut, kena tengok Penunggang Agama 2,” katanya.