Semua kita kenal Zainal Abidin, penyanyi lagu Hijau. Semua kita kenal Sheila Majid. Mereka ini penghibur bertaraf antarabangsa yang diiktiraf. Tapi kenalkah kita siapa di belakang mereka, yang bertungkus lumus dengan idea, susunan muzik, lagu juga konsep?
Kepalanya Roslan Aziz, orang kanannya Mukhlis Nor (tukang buat lagu dan lirik untuk Zainal). Panglima-panglimanya Zahid Ahmad, juga Mac Chew.
Zahid Ahmad, pemain dram residen untuk artis RAP (Roslan Aziz Production), pemain dram kebanggaan rakyat Malaysia, bertaraf antarabangsa, menjadi sessionist untuk 200 lebih penyanyi dan kumpulan muzik pelbagai genre daripada era Split Times, Affendy Agus (penyanyi rock Brunei) awal 80-an dulu sampailah ke era aLi.
Berbagai genre, dari jazz, rock, pop, reggae, asli, inang, zapin, progresif, apa saja genre. Zahid adalah tentang kesempurnaan seorang pemain dram, itu sebab dia menjadi pilihan Roslan Aziz. Bagi Roslan, Zahid boleh beri apa yang dia mahu.
Roslan juga seorang pemain dram, bukan setakat boleh main, tapi bagus dalam permainannya dan pernah session untuk artis seperti Mukhlis Nor dalam album Nuri terbitan 1985.
Kali pertama saya kenal Roslan Aziz sebagai pemuzik sewaktu menonton program di TV2 awal 80-an dulu. Waktu itu dia nyanyi lagu Careless Whisper diiringi oleh geng Booty seperti Purnama, Surya dan Kesuma. Roslan bermain gitar bes.
Seterusnya bila dia mula bikin RAP dan menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan daripada dalam dan luar negeri.
Roslan dan Zahid ini genius muzik dalam bidang masing-masing. Roslan dalam kejuruteraaan bunyi, Zahid dalam bab dram dan perkusi. Roslan ini tahap dia dah macam Quincy Jones dan Alan Parsons.
Langkah Roslan bekerja dan menimba ilmu di Booty Studio adalah tepat, its not about money, its about passion and love. Gila dengan apa yang dia buat. Kalau nak jadi bagus kita kena jadi gila, bukan sekadar minat. Itu sebab dia boleh mengadap mixer 24 jam tanpa menghiraukan makan dan minum. Itu sebab dia bagus.
Adik beradik Booty memang terbaik dalam muzik, semuanya, bak kata Roslan, bukan setakat boleh main, tapi sangat bagus! Saya pernah tonton persembahan mereka secara langsung awal tahun 2000 dulu, waktu kerja di Yamaha Music. Waktu itu kita hantar mixer yang dibeli untuk mereka buat persembahan. Sangat hebat! dengan jazz fusion bagai, Lee Ritenour dan few fusion stuff, hebat!
Cuma beza Roslan dan Booty, Roslan berani menongkah arus dan buat apa yang dia nak buat. Dan dia buat benda yang dia nak buat sampai jadi, walau orang cakap dia gila.
Bila Roslan jumpa gandingannya seperti Zahid, Mac Chew, Mukhlis Nor, Zainal, maka terbentuklah acuan dan gandingan yang mantap yang kita kata chemistry.
Chemistry yang mampu mengubah senario industri hiburan yang sebelumnya tepu atau bak kata Roslan, ‘Ghost town’ kembali bersinar dan berseri, semua bangsa boleh merasai warna muzik yang mereka perdengarkan seperti album Hijau awal tahun 90-an dulu.
Gugat Luncai Emas
Tajuk albumnya Zainal Abidin tapi sebab lagu Hijau sangat popular, orang ingat album itu tajuknya Hijau.
RAP mampu menggugat mana-mana production yang hebat seperti Luncai Emas. Luncai melalui M Nasir hanya mampu menarik minat orang Melayu khususnya berbanding RAP yang mampu menarik minat orang Cina, India dan apa bangsa pun, itu bezanya.
RAP memang terbaik di eranya, klimaksnya Konsert Ikhlas 1992 yang mampu menarik sehingga 45,000 penonton yang hadir dalam berbilang bangsa.
Zahid, seperti kata Roslan, dia bukan setakat tukang dram, tapi seorang reader, idea, kreativiti yang mampu membentuk sesebuah lagu menjadi lebih menarik. Itu bezanya Zahid dengan pemain dram yang lain.
RAP ni termasuk dalam world music. Kalau kita biasa dengar Paul Simon, Peter Gabriel, Ali Farka Toure, Salif Keita, Zainal Abidin pun termasuk dalam genre ini. World music, world class singer dan musicians. Zainal, merata dunia dia dah perform, sebab dia world class entertainer.
RAP adalah tentang chemistry antara Roslan, Mukhlis, Zahid dan kerjasama berpasukan yang menjadi. Bermula dari sembang angan-angan kedai kopi yang akhirnya menjadi kenyataan dan sejarah dalam seni muzik industri tanahair.
Roslan memerlukan Mukhlis untuk lagu dan lirik yang bagus, juga Mac Chew dan Zahid untuk membentuk acuan dan susunan muzik dan yang nak membawa lagu tersebut perlulah penyanyi yang berkualiti antarabangsa seperti Zainal mahupun Sheila.
Untuk lebih lebih terpeinci, boleh dapatkan buku Zahid, Tuk Tak. Banyak info yang kita boleh dapat dari buku ini. Saya sarankan pemuzik terutamanya pemain dram tak kira amatur atau profesional beli buku ini, harganya pun berpatutan.
Dalam satu bahagian, Zahid bagi tips untuk jadi sessionist dan macam mana nak susun muzik, juga tentang pengalaman dia menjadi pemuzik untuk Sudirman, Broery dan Sheila Majid.
Juga tentang kisah hidup seorang pemain dram yang bernama Zahid Ahmad.
MEOR YUSOF AZIDDIN ialah penulis dan pemuzik jalanan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.