Pelawak yang juga pelakon asal Indonesia, Vicha Saywho, bersyukur perubahan imej kepada wanita berhijab dilakukannya tahun ini membuka lebih banyak pintu rezeki.
Katanya, sebelum ini dia ragu-ragu untuk merealisasikan hasrat itu kerana bimbang jika berhijab itu boleh menjejaskan kerjaya seninya di Malaysia.
“Saya kan pelawak, takut nanti susah dapat kerja. Tapi Alhamdulillah, apabila dah niat dan pratikkan berhijab, Allah SWT permudahkan urusan saya malah diberi pula rezeki yang lebih banyak,” katanya.
Pemilik nama sebenar Refika Novianti Faturohman itu berkata demikian pada sidang media pengumuman Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM 2021) yang diadakan secara maya kelmarin.
Dia bakal tampil bersama Mamak, Vicha dan Ali dalam kumpulan Puteh pada MLM yang dijadual bermula 15 Oktober ini.
Vicha, 32, pertama kali memuat naik imejnya berhijab dalam Instagram pada Ogos lalu. Melalui hantaran berbeza, dia mengakui berasa malu dengan anak-anaknya apabila menyedari cuma dia yang masih belum berhijab.
Menurutnya, beberapa saluran televisyen yang tidak pernah mengundangnya juga mula menawarkan kerjasama ekoran penampilannya barunya itu.
“Lega kerana tawaran kerja sebaliknya semakin bertambah. Alhijrah dan Naura HD pun dah mula panggil saya. Alhamdulillah Allah bagi rezeki lebih,” katanya.
Untuk rekod, Vicha terpaksa berjauhan dengan tiga cahaya matanya iaitu Aurel Angelina Khezya, 13; Listya Arum Trasnih, 12; dan Michelle Averina Calista, 10; demi mencari rezeki di Malaysia.
Ditanya sama ada terdapat kontrak yang dibatalkan atau tidak ekoran dia sudah bertudung tiba-tiba, Vicha menjawab: “Tiada.”
“Syukur, tak ada kerjasama dibatalkan lepas saya berhijab. Malah mereka beritahu lebih suka saya berhijab,” katanya.