Seiring dengan perkembangan teknologi, penggiat industri perfileman dan seni kreatif terutama golongan muda disaran merebut peluang memajukan industri itu sehingga ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Syirfan Indra Mitra Surya Hussin berkata kebanyakan golongan muda memang mempunyai kemahiran berkarya menggunakan teknologi terkini.
“Mereka tidak tahu ke mana hala tuju untuk memasarkan kandungan yang dibuat, jadi Finas menerusi dana yang disediakan akan membantu dengan memberi sokongan dan dorongan supaya ia dapat dilihat oleh semua pihak,” katanya kepada Bernama di Kangar hari ini.
Menurut Syirfan Indra, Finas akan menilai karya yang dihasilkan dan bersedia memberi dorongan serta bimbingan agar ia mereka mampu pergi lebih jauh.
Terdahulu Syirfan Indra meninjau perjalanan bengkel teknik lakonan serta bengkel videografi dan YouTube menerusi program Komuniti@Finas (KoFI) yang disertai 50 peserta dari Perlis.
Sementara itu Pengarah Pembangunan Industri Finas Muhammad Ar-Riyyan Mohamad Roslan berkata semua 50 peserta berusia 18 hingga 35 tahun itu diajar mengenai teknik terbaik untuk menghasilkan karya seni kreatif.
Katanya menerusi bengkel itu Finas dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan sebagai anak seni terutamanya dalam bidang lakonan.
“Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi sendiri turun padang bagi memberikan teknik dan tunjuk ajar terbaik kepada peserta bengkel ini," katanya.
Menurut Muhammad Ar-Riyyan, Perlis menjadi negeri kedua program KoFI diadakan selepas Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
- Bernama