Kecewa sektor majlis sosial di tempat tertutup masih ‘gelap’ Mila Jirin tampil meluahkan rasa tidak puas hatinya ekoran nasib pengendali industri perkahwinan yang semakin terjejas “teruk” ekoran lebih setahun tidak beroperasi.
Luahan itu dibuat penyanyi dan usahawan berkenaan ekoran terkesan dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam yang menegaskan bahawa sektor itu mungkin yang terakhir akan dibuka dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Keadaan kami sangat teruk. Kami semua ada tanggungan dan kos yang perlu diselesaikan.
"Hutang menggunung dah tak mampu untuk dihadapi,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Turut menambah tekanan kata Mila, kenyataan Khairy berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang mungkin tidak dapat dipantau mengakibatkan jumlah pembatalan tempahan pelanggan yang meningkat.
“Sejujurnya ramai pelanggan sangat positif (untuk meneruskan tempahan) menjelang hujung tahun ni.
“Semua pengusaha industri perkahwinan sebenarnya baru nak mulakan aliran tunai (cash flow) dengan tempahan untuk tahun 2022.
“Tapi kenyataan menteri yang tidak yakin dengan SOP di majlis sosial menyebabkan tekanan tambahan kepada kami kerana pembatalan bertambah,” katanya.
Mohon diberi peluang
Khairy dalam ciapannya di Twitter membayangkan perasaan waswas terhadap pematuhan SOP di sesebuah majlis sosial di kawasan tertutup.
Katanya, mungkin amalan SOP sukar dititikberatkan apabila hadirin dalam sesebuah majlis itu membuka pelitup muka untuk bercakap dan makan.
Bagi Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin, 33, imuniti kelompok akan sukar dicapai sekiranya menteri sendiri tidak yakin bagaimana rakyat akan mematuhi SOP.
“Jika tak yakin dengan amalan SOP atau tak yakin dengan rakyat yang akan menjaga SOP serta keberkesanan vaksin, macam mana kita nak menuju endemik?” katanya.
Justeru, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima itu berharap pihak pengendali sektor majlis sosial dapat diberi peluang duduk semeja dengan Khairy atau pihak berwajib bagi membincangkan perkara tersebut.
Katanya, ia adalah jalan terakhir agar pengusaha sektor itu dapat meneruskan kelangsungan ekonomi mereka yang terhenti ketika ini.
“Mila dan sahabat yang terlibat dalam bidang ini mohon diberi peluang untuk berbincang mengenai hala tuju pengendali majlis sosial agar kami dapat gambaran anggaran untuk bermula dalam skala kecil.
“Kami tak minta untuk adakan aktiviti besar-besaran, tapi cukup sekadar majlis mikro yang mudah diurus misalnya untuk 100 kapasiti hadirin dan dipecahkan kepada tempoh masa tiga jam,” katanya.