Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kesenian itu memiliki nilai unik tersendiri, maka pihak penyiar atau penerbit tidak wajar menurunkan tarafnya menjadi sesuatu yang bersifat murahan.

Justeru pelakon dan pengarah terkenal, Namron, menganggap syarat memiliki pengikut selebriti seramai sejuta yang ditetapkan penyiar tertentu boleh menjejaskan nilai seni itu, malah bersifat tidak relevan.

Katanya syarat sebegitu menunjukkan faktor bakat bukan menjadi pertimbangan utama kepada pihak penerbit dan penyiar sebaliknya jumlah pengikut seseorang itu di media sosial.

“Siapa yang ada sejuta pengikut, mereka boleh berlakon. Jadi, di mana nilai kesenian itu?

“Sepatutnya drama, filem atau projek itu sendiri yang akan mengangkat seseorang menjadi bintang, bukannya kita kena cipta populariti (terlebih dulu) untuk berlakon,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Gedebe itu menjelaskan dalam seni sewajarnya turut membawa ilmu tertentu dan didatangkan bersama bakat yang boleh digilap. Namun katanya, tanpa bakat tidak ada apa-apa yang boleh digilap pada seseorang itu.

“Jika berterusan dengan sikap begini, tak perlulah nak sembang membawa filem Malaysia ke Oscarlah sebab nampaknya jauh lagi perjalanan kita nak mengangkat kesenian kita ke persada antarabangsa," katanya.

Bukan cari publisiti murahan

Pemilik nama asal Shahili Abdan itu menegaskan drama popular antarabangsa seperti Money Heist tidak pun menggunakan pelakon terkenal namun ia mampu 'meletup' dan secara tidak langsung mempopularkan aktor yang terlibat.

Terdahulu, Namron memuat naik imej dia bergaya 'separuh bogel' di media sosial. Hantaran bersifat sinikal itu dibuat dengan ‘harapan’ untuk dia mencapai sasaran sejuta pengikut.

Dia mengiringi hantaran berkenaan dengan kapsyen : “Menyahut cabaran stesen TV dan sesetengah penerbit yang mahukan sekurang kurang satu juta pengikut di media sosial.”

Namron, 51, kemudian menambah: “Road to 1 million followers (Ke arah sejuta pengikut). Foto bogel penuh akan disiarkan sekiranya sasaran tercapai sebelum 2022.”

Menurut Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean melalui Crossroad: One Two Jaga untuk menjadi pelakon seseorang itu perlu melalui jalan yang tidak mudah.

“Bukan boleh ambil siapa-siapa saja jadi pelakon. Tapi jika dah ambil berdasarkan populariti, memang kerja mudahlah macam tu sebab pihak produksi tak perlu buat promosi,” katanya.

Sementara itu, Namron menafikan tindakannya memuat naik gambar separuh bogel itu sengaja mencari publisiti murahan mahupun kerana tidak mempunyai tawaran kerja.

Dia sebaliknya berkata, jadualnya sudah penuh sehingga Jan tahun depan, selain bakal memulakan penggambaran untuk sebuah filem tidak lama lagi.

“Saya bukan tak ada kerja, apa saya buat cuma reaksi kepada syarat dikenakan syarikat terbabit. Tak ada kaitan dengan rezeki. Alhamdulillah kerja sentiasa ada dan semakin bertambah,” katanya.

Menurut Namron, disebabkan permintaan memberangsangkan untuk menggunakan khidmatnya, dia mengambil pendekatan “siapa terlebih dulu yang cepat memeterai”

“Ada drama bersiri dijangka mulakan jadual Okt ni manakala filem pada Dis nanti.

“Selain tu, saya juga sering dijemput pihak universiti dan sekolah bagi menghadiri sesi ceramah yang menyentuh aspek-aspek filem. Ia diadakan secara maya sejak perintah kawalan pergerakan lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS