Penerbit Izwan Ibrahim akhirnya melaporkan kepada polis ugutan bunuh yang diterimanya lebih empat kali daripada seorang pengarah filem di Balai Polis Puchong, Selangor.
Katanya, laporan dibuat selepas pengarah terbabit mengancam untuk mengambil tindakan sama terhadap anaknya.
Justeru, Izwan berkata, dia berharap tiada perkara sama berlaku terhadap pekerja lain yang bekerja di bawah arahan pengarah filem terbabit.
“Dalam kejadian terbaru, dia ugut boleh hantar orang untuk bunuh saya serta anak saya. Apabila babitkan keluarga, saya rasa tindakannya itu sudah cukup membahayakan.
“Saya sepatutnya ikat kontrak tiga bulan untuk bekerja dengannya. Dalam tempoh itu, bukan sekali tapi empat hingga lima kali juga dia ulang ugut dengan ancaman sama.
“Dia cukup panas baran dan suka cakap kasar termasuk yang baru pertama kali jumpa. Apalagi sikapnya terhadap pekerjanya lagi teruk dan saya berharap tindakan ni dapat membela nasib pekerja lain di bawahnya,” katanya dipetik Harian Metro.
Izwan, 39, berkata, pengarah itu yang dianggapnya sebagai kenalan rapat adalah seorang yang cukup berkaliber dalam kerjaya yang diceburi.
Menurutnya, alasan itu yang menyebabkan dia sudi untuk menerima tawaran bekerja dengannya bermula Julai lalu hingga bulan ini.
“Saya sudah mengenalinya sebelum ni dan pernah lepak bersama. Jadi, saya letakkan kepercayaan bekerja dengannya kerana anggap dia sebagai rakan baik.
“Tapi, ternyata berlaku sebaliknya kerana persekitaran kerja dengannya cukup menekan. Bahkan, kami terpaksa bekerja lebih masa hingga tengah malam atau hujung minggu atas arahannya.
“Bukan setakat tugas kerja wajib tapi termasuk tugasan kepentingan peribadinya. Selain sentiasa cakap kesat, dia juga sentiasa mencari alasan untuk melepaskan kemarahannya,” katanya.
Tambah Izwan, sebenarnya banyak lagi alasan lain yang mendorong dia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.
Bagaimanapun, ketika ini, katanya, dia cuma boleh berharap pengarah filem terbabit tidak akan mengulangi kesilapannya.
“Kalau cakap pasal gaji, saya belum dapat lagi daripadanya. Tapi saya terpaksa juga mengundur diri kerana bermacam-macam isu bekerja dengannya termasuk ugutan bunuh.
“Saya percaya, tindakan ni akan membuka ruang kepada yang lain pernah mengalaminya untuk turut bersuara. Sikapnya yang agak keterlaluan dan berbahaya itu perlu dihentikan,” katanya.