Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
RMK12: Usaha bersepadu bangunkan ekosistem industri kreatif
Diterbitkan:  Sep 27, 2021 2:16 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Usaha bersepadu akan dilaksana bagi membangunkan potensi industri kreatif negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), sekali gus membuka peluang Malaysia untuk menjadi pengeksport industri kreatif.

Langkah untuk mempercepat pertumbuhan industri kreatif ini termasuk membangunkan ekosistem yang menyeluruh, meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri serta memperkukuh pembangunan dan promosi produk.

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, kreativiti rakyat Malaysia dan perkembangan teknologi digital akan dimanfaatkan untuk memaksimumkan potensi industri kreatif, selain memelihara budaya, seni dan warisan negara.

“Penambahbaikan pemboleh daya pertumbuhan ini akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan serta menyokong pengukuhan identiti kebudayaan tempatan yang unik.

“Usaha ini akan membantu industri kreatif berkembang pada kadar 3.6 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dan menyumbang sebanyak RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025,” menurut dokumen itu.

Bagi membangunkan ekosistem industri kreatif sebagai pemangkin pertumbuhan dalam merangsang semula ekonomi, dasar sedia ada khususnya Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dan rangka kerja institusi berkaitan akan disemak semula bagi menentukan hala tuju baharu industri.

Selain menyokong syarikat tempatan menembusi pasaran serantau dan global, rangka kerja pembangunan kandungan digital akan ditambah baik untuk meningkatkan eksport dan menarik pelaburan dan memanfaatkan sepenuhnya bakat serta memperkukuh perkongsian awam dan swasta.

Akaun satelit bagi industri kreatif akan dibangunkan untuk mempermudah pengumpulan dan analisis data bagi memudahkan perancangan, pemantauan dan penilaian yang lebih baik, demikian menurut dokumen itu.

Bagi meningkatkan kemahiran bakat untuk memenuhi keperluan industri, latihan kemahiran akan dipergiat dalam pelbagai bidang termasuk animasi, pembikinan filem dan pemainan elektronik. Platform serantau untuk eSports, hab serantau kandungan digital dan Creator’s Studio akan turut diwujudkan.

Pengajaran dan pembelajaran subjek berkaitan industry kreatif iaitu multimedia, teknologi digital dan rekaan akan diperluas melibat instititusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Menurut dokumen RMK12 itu, aplikasi mudah alih dan platform dalam talian akan digunakan bagi memperkukuh pembangunan dan promosi produk serta poerkhidmatan industri kreatif jenama Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS