Selagi ada undangan atau jemputan saya akan terus buat persembahan Awang Batil iaitu suatu seni penceritaan secara muzikal, kata pewaris tunggal Awang Batil di Perlis Ramli Mahmud.
"Kerana cintakan warisan inilah saya terus gagah memperjuangkannya sehingga hari ini.
“Namun saya akan berhenti juga satu hari nanti jika masyarakat sudah tidak lagi berminat untuk mendengarnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini sambil memandang ke arah kereta api yang melintasi rumahnya di Pokok Sena, Chuping.
Ramli, 66, yang mesra dengan panggilan ‘Abang Li’ atau ‘Pak Ramli’ dalam kalangan penduduk sekitar, berkata dia mula belajar persembahan Awang Batil seawal usia enam tahun daripada bapanya arwah Muhmud Wahib yang juga merupakan tokoh Awang Batil.
“Selagi ada orang ‘dok’ (ada) panggil Pak Ramli main (persembahan), selagi itu akan terus main Awang Batil…tapi biarlah bagi ‘duit sekupang dua’ (wang).
“Jangan main masuk angin keluar angin sudahlah (bermain tanpa bayaran),” katanya sambil tersenyum mengusik pemberita dengan jenaka.
Ramli berkata bagaimanapun dia tidak kisah sangat dengan bayaran, apa yang lebih penting baginya ialah dapat meneruskan legasi seni penglipur lara itu daripada pupus ditelan zaman.
Dia berkata sedia berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan generasi muda bila-bila masa sahaja kerana seni warisan itu semakin dilupakan oleh generasi hari ini.
“Kalau dahulu apabila ditanya oleh orang ramai, arwah bapa Pak Karim mampu berbangga sebab dia ada pewaris iaitu anaknya (Ramli)...namun kini tidak siapa yang berminat untuk mewarisinya lagi,” katanya.
Ramli berkata apa yang penting adalah minat mendalam untuk mempelajari seni ini dan ia bukan satu perkara main-main sebaliknya memerlukan pengorbanan.
“Dulu ada juga dua tiga orang anak muda yang berminat untuk mempelajari Awang Batil namun hanya separuh jalan sahaja,” katanya sambil memandang ke arah tingkap rumah sambil mengaru-garu kepala.
Bukan ambil sehari dua
Dia berkata mempelajari Awang Batil bukan hanya menghafal penceritaan sebaliknya memerlukan kemahiran menguna alat-alat muzik tradisional seperti batil, gendang, biola dan juga serunai.
“Belajar main Awang Batil bukan ambil masa sehari dua tetapi sepanjang masa sehingga benar-benar dapat menjiwai seni ini,” katanya ketawa kecil dan menggesek biola.
Menceritakan pengalamannya, Ramli berkata pada peringkat awal dia belajar cara bercerita daripada arwah bapanya.
Antara cerita awal yang diperlajarinya ialah kisah ‘Awang ada duit semua jadi’, ‘Awang Biawak’ dan banyak lagi.
“Kisah yang diceritakan oleh Awang Batil bukan hanya cerita lawak semata-mata sebaliknya mendidik rakyat dan kadang-kadang terdapat juga kisah sedih sehingga mengalirkan air mata,” katanya.
Ramli berkata dia harap terdapat anak muda yang berminat untuk meneruskan perjuanganya itu agar warisan ini tidak terkubur satu hari nanti.
“Pak Ramli sunyi kerana hanya tinggal seorang sahaja yang masih aktif meneruskan permainan Awang Batil, jika ada pelapis ia dapat meriahkan lagi suasana,” kata bapa kepada empat orang anak itu.
-Bernama