Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zizi Kirana kini milik Yusuf Bahrin
Diterbitkan:  Sep 19, 2021 3:09 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Penyanyi Zizi Kirana hari ini sah menjadi isteri kepada Yusuf Bahrin melalui lafaz akad nikah yang dilafaz sekali kira-kira jam 10.40 pagi tadi di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah bin Zaid, Murshidi Abd Hamid dengan diwalikan sendiri bapa Zizi, Mad Tahil.

Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Penyanyi lagu Eh! itu menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, kelihatan anggun mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan ditatarias oleh jurusolek terkenal Alha Alfa.

Selepas majlis pernikahan, pasangan pengantin meluahkan rasa syukur majlis akad nikah mereka berjalan dengan lancar dan urusan semuanya dipermudahkan.

“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar… kalau nak tahu, Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah. Semuanya dilakukan saat-saat akhir!

"Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan… doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke syurga.

“Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Dis depan,” kata mereka dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tak perlu tunggu lama-lama

Berkongsi mengenai perkenalan mereka, Zizi, 36, berkata dia mula mengenali Yusuf ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini.

Mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan.

Kata Zizi semasa pertama kali berjumpa dan berkenalan dengan Yusuf, 29, ketika rakaman program ATNMY, mereka tidak bertegur sapa pun.

Namun katanya keadaan bertukar selepas Aidilfitri lalu apabila Yusuf menghubunginya dan mereka mula berkawan.

“Saya selesa berkawan dengan Yusuf dan nampak dia ikhlas dalam perhubungan ini.

"Hujung Ogos lalu kami rancang untuk terus berkahwin. Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama," katanya.

Sepanjang perkenalan itu, kata Zizi, mereka hanya berjumpa beberapa kali sahaja kerana kekangan perintah kawalan pergerakan.

"Kami lebih banyak berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan media sosial,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cahaya mata, Zizi berkata dia dan Yusuf bersedia menerima zuriat dalam masa terdekat.

“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup," katanya.

Pada masa sama menurut Zizi mereka belum ada perancangan untuk berbulan madu kerana esok dia susah kembali bekerja seperti biasa.

"Cuma kami ada rancang untuk menunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS