Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Air Kelantan bertindak lepas Fizo mengeluh
Diterbitkan:  Sep 17, 2021 6:22 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Selepas menggesa langkah proaktif diambil bagi menyelesaikan isu air kotor di Kelantan, Fizo Omar memaklumkan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah menghantar pekerja bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Pelakon itu berkata, AKSB mengambil tindakan pantas dengan menghubunginya sebelum menghantar pasukan mereka ke kawasan perumahannya semalam.

Bagaimanapun, perkara itu baru dikongsikan di Instagram Fizo hari ini.

“Berkaitan isu air di Kelantan, pihak yang berkaitan dan AKSB telah pun menghubungi saya.

“Mereka menghantar pasukan untuk menyelesaikan masalah air kotor di kawasan saya.

“Terima kasih atas perhatian dan tindakan pantas yang diambil,” katanya.

Terdahulu, Fizo atau nama asalnya Wan Hafizol Wan Omar yang kecewa dengan masalah sama dihadapi sejak sekian lama menyentuh isu berkenaan di Instagram miliknya.

Pelakon Maaf Tak Indah itu mengiringi hantaran tersebut dengan memuat naik sebuah klip video pendek memaparkan dia sedang membuka paip yang mengeluarkan air keruh.

Kata Fizo, 36, dia berharap ada pihak yang akan mendengar luahannya itu serta mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah air di Kelantan. 

Fizo dipercayai berada di kampung halamannya di Kampung Bukit Jawa, Pasir Puteh.

Susulan itu, ramai dalam kalangan pengikut dan peminat Fizo yang menetap atau pernah tinggal di Kelantan berkongsi pendapat yang sama dengan aktor berkenaan.

Fizo pada hantaran sama turut berkata, dia memohon agar masalah masalah air bukan saja dapat diselesaikan di kawasan perumahannya bahkan dapat diselesaikan di seluruh negeri berkenaan.

“Saya berharap pihak yang berkaitan dapat selesaikan masalah air di semua tempat di Kelantan. Terima kasih atas kerjasama AKSB,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS