Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bocor gaji MP, parti panggil Krisdayanti beri penjelasan
Diterbitkan:  Sep 17, 2021 2:20 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Krisdayanti dipanggil bertemu pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) selepas penyanyi popular Indonesia itu mendedahkan pendapatannya sebanyak Rp75 juta rupiah (RM22,000) sebulan sebagai ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.

Kenyataan diva itu sebelum ini berhubung gaji yang diterimanya mengundang perhatian dan polemik dalam kalangan warga maya.

Menurut pemimpin PDI-P Utut Adianto, penyanyi yang turut popular di Malaysia itu diminta memberi penjelasan terhadap situasi yang boleh menjejaskan reputasi parti berkenaan.

“Krisdayanti diundang oleh saya dan setiausaha PDI-P di DPR, Bambang Wuryanto untuk membincangkan kenyataan yang menjadi tular dan dianggap sengaja menjadikan DPR sebagai sasaran,” katanya yang juga wakil ketua DPR.

Terdahulu, penyanyi Aku Wanita Biasa itu dalam sesi program bual bicara di YouTube memaklumkan dia menerima gaji sebanyak dua kali sebulan iatu pada 1 haribulan dan 5 haribulan.

Krisdayanti, 46, berkata dia menerima gaji pokok sebanyak Rp16 juta (RM4,688) pada 1 haribulan dan elaun sebanyak Rp59 juta (17,289) pada 15 haribulan.

Dia juga mengaku bahawa anggota DPR menerima dana aspirasi sebanyak Rp450 juta (RM131,866) yang diterima lima kali setahun serta dana kunjungan daerah pemilihan sebanyak Rp140 juta (RM41,024).

Bagaimanapun, dia menjelaskan dana berkenaan digunakan oleh anggota DPR dalam menjalankan tugas mereka sewaktu turun padang menemui rakyat.

Utut mengesahkan kenyataan tersebut.

Namun, kata Utut, sebagai ahli politik, Krisdayanti sewajarnya tidak membuat apa-apa kenyataan yang boleh mencetuskan pertikaian.

“Dari sudut pandang ahli politik, dia harus mengelak dari membuat kenyataan yang berpotensi menimbulkan kekecohan.

“Ini bukan teguran tapi lebih kepada diskusi. Dia perlu memperbaiki komunikasi dengan orang awam untuk mencegah salah faham,” katanya.

Krisdayanti dipanggil untuk sesi “diskusi” itu semalam. Memetik media tempatan, perbincangan itu berlangsung selama kira-kira sejam.

Utut berkata, Krisdayanti juga telah memohon maaf ekoran kenyataan tersebut.

“Mbak KD (Krisdayanti) kan orangnya sangat jujur dan telus. Ketika diundang saja sudah minta maaf kerana menyusahkan banyak pihak. Kami juga bukan dalam posisi menyalahkan,” katanya lagi.

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Krisdayanti.

Sementara itu, melalui semakan di Instagram miliknya hari ini, penyanyi tersebut memuat naik imejnya tersenyum ketika momen itu dirakam bersama Utut dan Bambang.

“Satu rumah, satu visi, satu misi. Alhamdulillah. Dengan izin senior. Bersama Ketua (PDI-P) Utut Adianto dan Setiausaha PDI-P, Bambang,” tulisnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS