Kecewa perkara perlu berdepan masalah sama sejak sekian lama, pelakon Fizo Omar berharap aduan pengguna berhubung masalah kualiti air di Kelantan segera menemui penamatnya.
Fizo menyentuh isu tersebut melalui hantaran di Instagram miliknya hari ini.
Dia turut mengiringi perkongsian itu dengan memuat naik satu klip video memaparkan dia sedang membuka paip yang mengeluarkan air keruh.
“Tolong buat sesuatu!
“Bukan nak merungut, tapi sebagai rakyat, saya rasa saya patut bersuara mengenai kualiti air di Kelantan.
“Dan isu ni pula bukan baru (terjadi) hari ni tapi dah bertahun-tahun macam ni,” katanya.
Menurut pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu, sama seperti penduduk Kelantan yang lain dia tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kemudahan air yang ada.
“Air adalah keperluan harian dan saya tiada pilihan lain selain dari menggunakan air paip kerajaan,” katanya.
Namun, Fizo, 36, mengakui dia sedikit pun tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak menerusi hantaran yang dibuatnya itu.
“Kepada mana-mana pihak yang berkaitan, saya mohon maaf sekiranya hantaran ni menyebabkan mana-mana pihak tak selesa. Tapi inilah hakikatnya,” katanya lagi.
Kata pelakon drama Maaf Tak Indah itu, apa yang ditimbulkannya itu cuma sebahagian daripada usaha untuk menyedarkan pihak atasan supaya bertindak menangani isu tersebut.
“Diharap suara saya ni didengari dan diambil tindakan untuk kebaikan semua rakyat Kelantan,” katanya.
Difahamkan rumah Fizo terletak di Kampung Bukit Jawa, Pasir Puteh.
Susulan itu, ramai dalam kalangan pengikut dan peminat Fizo yang menetap atau pernah tinggal di Kelantan berkongsi pendapat yang sama dengan aktor berkenaan.
“Itulah kena buat aduan, kerajaan kena ambil tindakan. Selalu balik Kelantan air kat kampung tak ada.
"Ada pun, berkarat sampai sekarang tak selesai isu air di sana,” kata pengguna akaun @eiyra2677.
Seorang lagi pengguna akaun @nah_hashim berkata: "Betul sangat, kecewa dah lama kami terpaksa hadap.”
Sementara itu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam hebahan di akaun Facebook rasmi syarikat berkenaan memaklumkan terdapat beberapa kawasan di negeri itu mengalami gangguan bekalan air termasuk Bachok yang bermula dan berakhir semalam serta Pasir Putih dari 12 Sept hingga 13 Sept lalu.
“AKSB memohon maaf di atas kesulitan pelanggan kerana masalah di luar jangka ini. Pelanggan diharap bersabar,” tulis hantaran itu.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi AKSB untuk mengulas lanjut perkara tersebut.