Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yuka Kharisma sebak ibu menangis dengar Melihatmu Bahagia kali pertama

Rindu serindu-rindunya, demikian perasaan penyanyi dan komposer kelahiran Aceh, Indonesia, Yuka Kharisma ketika dia mendapati ibunya menangis selepas mendengar lagu Melihatmu Bahagia buat kali pertama.

Rasa sebak itu menguasai diri Yuka kerana dia kini menetap di Malaysia manakala si ibu berada di Jakarta.

“Sebaik Melihatmu Bahagia siap saya perdengarkan kepada ibu untuk pertama kali. Dia menangis apabila mendengar lagu tu kerana mengenangkan situasi kami sejak sekian lama tak dapat berjumpa.

“Apabila dengar tangisan dan kesedihan ibu, perasaan ni jadi rindu serindunya kerana dah lebih dua tahun kami tak dapat berjumpa,” katanya.

Yuka, 33, berkata, kerinduan terhadap keluarga terutama ibunya itu sudah lama terpendam sejak dari mereka ‘terpisah’ ekoran penularan Covid-19.

Susulan itu, menurutnya, dia terpaksa berdepan cabaran sukar sewaktu menyiapkan lagu nukilan dia bersama suaminya Ahmad Jeffny yang juga pemuzik serta komposer.

Kata pemenang Anugerah Planet Muzik ke-15 melalui kategori artis baru wanita terbaik itu, cabaran tersebut adalah dari segi menyanyikan beberapa bait Melihatmu Bahagia yang dipetik dari percakapan antara dia dan ibunya sebelum ini.

“Saya tak dapat menahan sebak semasa merakamkan lagu berkenaan kerana setiap kali menyanyi akan teringat percakapan sewaktu dengan ibu,” katanya.

Ilham daripada ibu dan anak

Yuka berkata demikian pada sidang media pelancaran single terbarunya itu yang berlangsung secara maya semalam.

Mengulas situasi Covid-19 di Indonesia, penyanyi Mati Rasa itu berkata, meskipun timbul kegusaran mengenai keselamatan ibunya, dia masih perlu menunggu waktu yang sesuai sebelum bersedia membawa orang tuanya menetap bersama-sama di negara ini.

“Sebelum ni ada rancang nak bawa ibu yang usianya dah lebih 60 tahun menetap di sini tapi situasi Covid-19 menyukarkan lagi keadaan. Saya masih tunggu waktu yang benar-benar sesuai.

“Keadaan Covid-19 di Indonesia memang membimbangkan, sanak saudara jauh ada yang dijangkiti wabak tu dan meninggal dunia. Namun, alhamdulilah, saya bersyukur Allah masih melindungi keluarga di sana,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Melihatmu Bahagia, Yuka berkata, lagu itu diinpirasikan daripada ibu serta anaknya, Ahmad Avisenna, yang kini berusia lebih empat tahun.

“Ia berkisahkan pengorbanan seorang ibu untuk anak. Lagu ni juga boleh dikaitkan dengan orang tersayang yang sanggup berbuat apa saja untuk kita.

“Lagu ni dihasilkan bersempena situasi saya dan ibu yang lama tak berjumpa. Saya harap pandemik ni cepat berakhir dan keadaan kembali seperti biasa, insya-Allah,” katanya.

Katanya, proses rakaman Melihatmu Bahagia yang mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan dilakukan di kediamannya sendiri.

“Demi mematuhi PKP (perintah kawalan pergerakan), saya bersama suami ambil keputusan untuk melakukan kesemuanya di rumah, bukan di studio,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS