Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah bersyukur dapat 'peluang kedua' muhasabah diri
Diterbitkan:  Sep 11, 2021 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

“Pagi yang indah, betapa bersyukurnya saya masih dapat berada di sini,” luah penyanyi Aishah hari ini yang lega apabila diberikan kesembuhan selepas 12 hari dia diuji dengan wabak Covid-19.

Pun begitu, kongsi Aishah, bagi memastikan kesihatannya terus baik, dia masih perlu menghabiskan stok ubat-ubatan yang dibawa pulang dari hospital sebaik dibenarkan pulang semalam.

“Sambung rutin dari hospital, banyak ubat yang kena habiskan dos. Terasa dalam golongan warga emas bila dah ada buku temu janji sendiri,” katanya di Instagram.

Penyanyi Camar Yang Pulang itu berkata, kesempatan diberikan untuk menjalani kehidupan kembali normal ibarat peluang baru untuknya bermuhasabah.

“Seperti diberi peluang kedua untuk memperbaiki diri,” katanya pada hantaran berasingan.

Terdahulu, Aishah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 30 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19 dan mengalami simptom demam panas selain semput.

Selepas dua hari mendapat rawatan, Aishah memaklumkan paras oksigennya turun ke tahap 88 peratus selepas doktor membuka alat pernafasan tersebut.

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu berkata, biarpun hanya berada di rumah sepanjang tempoh dua tahun namun sudah ditakdirkan terkena juga virus tersebut.

“Sekarang ni doakan saya terus sembuh sepenuhnya. Nasibnya, saya dua tahun duduk rumah, Allah nak jadikan, kena juga,” katanya.

Aishah, 56, turut memuat naik beberapa imej kenangan bersama jururawat yang menjaganya sepanjang 12 hari berada di hospital.

Dia turut menyeru supaya rakyat negara ini tidak pandang sambil lewa kesihatan masing-masing.

“Jangan ambil mudah hal-hal kesihatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS