Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PTVM cadang kerajaan tubuh konsortium satukan syarikat penerbitan TV

Majoriti syarikat penerbitan televisyen (TV) kecil dan sederhana tidak mampu bertahan ekoran sumber kewangan terhad akibat pandemik Covid- 19, menyebabkan industri itu antara terjejas teruk.

Bukan setakat itu, tenaga kerja di belakang tabir dan artis yang semata-mata bergantung kepada permintaan untuk penerbitan stesen TV juga umpama ada kerja, ada gaji, tiada kerja, tiadalah pendapatan.

Justeru, Presiden Persatuan Televisyen Malaysia (PTVM) Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya memohon untuk bertemu Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa bagi membentangkan hala tuju industri kreatif dengan cadangan ekosistem baru yang lebih kondusif, mengambil kira kesan Covid-19.

“Satu cadangan berbentuk dasar baru perlu dibentangkan kepada kerajaan bagi memastikan masa depan industri itu terus berkembang dan menyumbang kepada pendapatan negara seperti sebelum ini.

“Cadangan PTVM adalah syarikat penerbitan TV disatukan di bawah satu konsortium bagi memastikan keupayaan dan kemampuan sumber kewangan sesebuah perusahaan itu kukuh dan stabil,” katanya kepada Malaysiakini.

Jurey Latiff Rosli

Menurut Jurey, konsortium berkenaan mampu membuat pelaburan bagi menyediakan studio dan peralatan canggih dalam menghasilkan kandungan program TV.

“Antara masalah industri adalah ketiadaan studio atau set khas untuk penggambaran. Kebiasaannya, kami perlu menjalankan aktiviti itu di umah, pejabat atau tempat awam.

“PTVM mencadangkan kerajaan membina set-set penggambaran seperti studio di Korea dan China, khas bagi tujuan penggambaran.

“SOP Covid-19 juga mudah dikawal apabila sesebuah aktiviti penggambaran dijalankan di studio yang disediakan,” katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan kelonggaran aktiviti hiburan hanya untuk individu divaksin sepenuhnya di semua negeri bermula esok termasuk persembahan seni, pawagam, penggambaran dalam dan luar studio.

Keputusan itu dibuat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merangsang semula kegiatan ekonomi industri kreatif dan kesenian yang terjejas teruk ekoran pengekangan wabak.

Jurey berkata lagi, apabila semua tenaga kerja bernaung di bawah sebuah agensi, sistem urus tadbir dapat dijalankan secara profesional malah kebajikan penggiat seni menjadi lebih terjamin.

“Penyusunan itu akan memastikan semua tenaga kerja berdaftar, bertauliah dan diberikan pendapatan tetap bulanan, insurans, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Jika dapat dilaksanakan, ia akan memudahkan kerajaan mendapatkan data bagi menyediakan dana yang mencukupi untuk membuat perancangan peruntukan dalam membantu industri.

“Insya-Allah, model ini mampu membantu urus tadbir industri dengan lebih baik. Projek di bawah kerajaan pula akan tetap ada misalnya melalui RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Ni satu kaedah membantu pekerja industri,” katanya.

Jurey berkata, pihaknya berharap semua pihak berkepentingan seperti kerajaan dan stesen TV dapat duduk semeja bagi memperhalusi segala isu dan seterusnya merangka satu pelan atau dasar bagi menghidupkan kembali penerbitan TV.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk kita memperbaiki ekosistem industri supaya berada di landasan yang tepat untuk sebuah perkembangan industri penerbitan TV yang mengalakkan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS