mk-logo
Seni & Hiburan
Pawagam, persembahan seni kini diberi izin bersyarat
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 6:42 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Selepas sekian lama ditutup, orang ramai kini boleh menonton filem di panggung wayang apabila sektor itu kini dibenarkan beroperasi kembali.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya individu yang sudah lengkap divaksin sahaja dibenarkan memasuki pawagam mulai 9 Sept ini.

Jumlah penonton yang dibenarkan berada dalam sesebuah dewan juga, katanya, terhad kepada 50 peratus kapasiti maksimum.

Kata Ismail Sabri kelonggaran prosedur operasi standar (SOP) untuk industri kreatif itu diberikan kepada negeri di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Keputusan ini adalah antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

"Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kelonggaran berkenaan adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pelanggan yang lengkap vaksinasi Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

"Selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat menghidupkan kembali industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana)," katanya.

Senarai aktiviti yang dibenarkan

Sehubungan itu, Ismail Sabri menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan semula sektor itu supaya sentiasa mematuhi syarat dan SOP yang ditetapkan.

"Ia bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Okt ini.

"Insya-Allah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," tambahnya.

Antara aktiviti lain yang turut dibenarkan beroperasi semula adalah seperti berikut:

1. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.

2. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin.

3. Busking tertutup (indoor).

4. Persembahan di lounge hotel.

5. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis

7. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS