Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon The Wire, Michael K Williams meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 2:57 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Pelakon Michael K Williams ditemui meninggal dunia di kediamannya di New York hari ini, disyaki akibat mengambil dadah berlebihan dos, menurut polis.

Berusia 54 tahun, Williams yang terkenal dengan siri The Wire itu ditemui seorang ahli keluarganya dalam keadaan kepalanya terkulai dan tidak sedarkan diri.

Turut ditemui adalah dadah jenis heroin serta peralatan berkaitan di meja makan, kata pegawai.

Menurut pegawai itu lagi, seorang ahli pelakon itu memberitahu dia bercakap dengan mendiang pada 3 September lalu dan sepatutnya bertemu di sebuah majlis diadakan keesokan harinya, tetapi Williams tidak hadir.

Ahli keluarga itu kemudian ke rumahnya ada seorang individu kemudian membuat panggilan polis mengadu ada seorang lelaki “sudah tidak responsif” dan “kaku", katanya lagi.

Panggilan berkenaan dibuat kira-kira jam dua pagi (waktu tempatan).

Pihak berkuasa mengesahkan aktor itu -yang sebelum ini berbicara secara terbuka mengenai perjuangannya mengatasi masalah ketagihan - meninggal dunia akibat mengambil dadah berlebihan dos pada jam 2.12 pagi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa lama pelakon itu sudah meninggal dunia sebelum itu.

“Tiada unsur jenayah, tiada pecah masuk, kediamannya dalam keadaan teratur,” kata pegawai itu lagi.

Selain watak ikoniknya sebagai Omar Little dalam The Wire, Williams juga dikenal dengan watak Albert 'Chalky' White melalui drama bersiri Broadwalk Empire dan Montrose Freeman dalam Lovecraft Country.

Mendiang menerima lima pencalonan dalam Anugerah Emmy atas pelbagai peranan dijayakan sebelum ini, termasuk dalam Lovecraft Country tahun ini.

Peminat turut menjangkakan Williams bakal merangkul Anugerah Emmy sulung melalui lakonannya dalam Lovecraft Country dalam majlis yang dijadual berlangsung kira-kira dua minggu lagi.

Dia juga pernah menjayakan filem seperti 12 Years A Slave, The Purge: Anarchy, The Gambler dan Snitch.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS