Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Warner Music nafi artisnya songlap RM70,000 duit Andi
Diterbitkan:  Aug 26, 2021 12:32 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Warner Music Malaysia menafikan seorang penyanyi di bawah naungannya terlibat dalam kes penyelewengan wang melibatkan Andi Bernadee berjumlah hampir RM70,000.

Warner Music dalam satu kenyataan memaklumkan akibat dikaitkan dalam kes kerugian itu, akaun Instagram penyanyi berkenaan mula ‘diserang’ netizen.

Untuk rekod, Andi juga merupakan artis di bawah naungan Warner Music.

Syarikat itu berkata, penyanyi berkenaan tidak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kes songlap duit yang telah dilaporkan oleh Andi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Kenyataan itu berkata, tuduhan terhadap artis berkenaan mula tular apabila seorang pengguna TikTok menuduhnya sebagai rakan yang telah mencuri duit Andi.

Malaysiakini tidak menamakan artis tersebut bagi menunggu maklum balas daripadanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile mendakwa, seorang kenalan menganiayai dirinya apabila individu terbabit menyeleweng wang hasil titik peluhnya yang sepatutnya diperoleh sejak Jun tahun lalu.

Kata penyanyi lagu Tiada Lagi Maaf itu, dia memberi sepenuh kepercayaan kepada rakan terbabit yang dikenali selama dua tahun untuk menguruskan kariernya.

Malah menurutnya, dia sedikit pun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk boleh berlaku apatah lagi pernah mengerjakan umrah sebanyak dua kali bersama individu terbabit.

Tambah terkilan, Andi, 29, berkata, duit membabitkan dua projek diusahakan bersama klien itu sepatutnya digunakan untuk menampung perbelanjaan harian ibu dan bapa di kampung serta adik yang masih bersekolah. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS