Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi Ayam Den Lapeh, Elly Kasim meninggal dunia
Diterbitkan:  Aug 25, 2021 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Penyanyi legenda Indonesia yang terkenal dengan lagu Ayam Den Lapeh, Elly Kasim Ali Umar meninggal dunia pada usia 76 tahun kira-kira jam 3.48 petang tadi (waktu tempatan).

Allahyarham yang banyak mempopularkan lagu-lagu Minang - dan boleh dikatakan hampir semuanya hit - meninggal dunia di rumah sakit MMC Kuningan selepas mengalami radang usus.

Penyanyi berdarah Minang itu dilahirkan di Sumatera Barat pada 27 September 1944.

Sepanjang berkecimpung sebagai penghibur, penyanyi kelahiran Tiku, Tanjung Mutiara di Sumatera Barat itu pernah menerbitkan sekurang-kurangnya 100 buah album solo.

Untuk rekod, lagu Ayam Den Lapeh juga dirakamkan kemudian oleh penyanyi Anita Sarawak.

Media tempatan melaporkan, berita pemergian Elly disahkan oleh ahli keluarga terdekatnya.

Selain aktif sebagai penyanyi, Allahyarham juga terkenal sebagai perancang perkahwinan khususnya yang berkaitan dengan adat dan budaya Minang di bawah syarikatnya, Elly Kasim Collection.

Pada 29 Julai 2017, Elly mempersembahkan sebuah konsert bertajuk Menjulang Bintang 57 Tahun Elly Kasim Berdendang di Teater Jakarta, Taman Ismail Marzuki.

Konsert dikendalikan Pengarah Muzik Hendri Lamiri itu dihadiri ramai rakan artis popular seperti Titiek Puspa dan Judika.

Suami Elly yang juga seorang seniman berdarah Minang, Nasif Bazir meninggal dunia pada tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS