Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mimi Loma meninggal dunia dalam tidur
Diterbitkan:  Aug 21, 2021 11:51 AM
Dikemaskini: 9:14 AM

Pelakon dan penyanyi era 1960-an Mimi Loma meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur, pada jam 2.19 pagi tadi.

Allahyarham meninggal dunia ketika usianya mencecah 75 tahun.

Menurut anak tunggal arwah, Sherina Othman, ibunya tidak sakit tenat tetapi mengalami cirit-birit dan kurang selera makan sejak beberapa hari lalu.

Katanya, ibunya meninggal dalam keadaan tenang di hadapannya, anak dan jiran.

“Saya dan anak sentiasa memantau pemakanan dan memberinya ubat agar sakit tidak melarat.

“Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit-birit semula.

“Jadi, arwah hanya tidur dan tidak buka mata sepanjang hari, semalam. Apabila dipanggil arwah juga tidak menyahut sehingga saya dan anak terpaksa memanggil berulang kali barulah memberi respon perlahan,” katanya dipetik BH Online.

Arwah adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail.

Dia aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968. Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu.

Sherina, 48, juga berkata, dia pada awal beranggapan arwah mungkin tidur kerana kepenatan ekoran tidak sihat.

“Selalunya, apabila bangun arwah akan segar semula. Namun, saya tidak menyangka itu petanda arwah akan pergi selama-lamanya," katanya yang masih terkejut dengan pemergian ibunya.

Jenazah Allahyarham Mimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pagi ini.

Mimi atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail sudah sekian lama berada dalam keadaan uzur.

Allahyarham mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, tahun lalu.

Mimi sebelum ini pernah dilaporkan terjatuh hingga mengakibatkan tulang pinggulnya patah dan perlu menjalani pembedahan. Namun, insiden itu juga menyebabkan dia sukar untuk berjalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS