Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nabil ajak semua orang muhasabah untuk atasi kemelut politik

Kemelut politik yang melanda negara sekarang, kata Nabil Ahmad, sebenarnya perlu dilihat dari sudut pandang yang berlainan agar mendapat natijah yang berbeza.

Kata pelakon dan pelawak itu, ada seorang ustaz memberitahunya cara yang betul ialah bermusahabah bagi melihat kepada kesilapan sendiri berbanding menyalahkan orang lain.

Justeru, bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, Nabil mengajak orang ramai khususnya umat Islam mendidik hati ke arah kebaikan serta memperbanyak amalan mulia untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

“Saya harap menjelang Hari Kemerdekaan ni lebih ramai umat Islam menyedari kekurangan dan memperbetulkan diri sendiri. Marilah kita cuba perlahan-lahan.

“Asbab inilah Allah SWT uji kita dengan situasi sekarang. Tukarlah berapa kali pemimpin baru sekali pun, jika kita tak berubah dan ikut ajaran Nabi Muhammad SAW serta taat perintah Allah, kesan positif yang diharapkan mungkin sukar dicapai.

“Allah akan bantu negara yang umatnya berusaha mendalami agama dengan betul, perbaiki solat, berzikir dan berpuasa,” katanya.

Nabil berkata demikian pada sidang media yang diadakan secara maya sempena sambutan kemerdekaan dan ulang tahun Astro ke-25 baru-baru ini.

Nabil, 37, yang juga pengacara itu bagaimanapun mengakui istiqamah dengan amalan sebegitu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Sebab ujian kita di akhir zaman ni lain macam sikit. Takut Allah bagi hidayah, tapi kemudian Dia tarik balik. Saya juga berdepan ujian nak bangun untuk solat tahajud misalnya.

“Hanya masa awal-awal rajin bangun tapi lepas tu mula malas. Kadang-kadang dapat solat Subuh saja. Nak kekal istiqamah dalam membuat ibadah ni memang ujian besar,” katanya.

Ada projek baru

Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu berkata, dia dan isterinya Nazirah Ayub juga mula memadam satu persatu gambar lama mereka yang dianggap tidak lagi sesuai dipaparkan untuk tontonan umum di Instagram masing-masing.

“Kami sama-sama berbuat demikian. Kita tak tahu bila Allah nak ambil nyawa kita. Sejak akhir-akhir ni banyak perkara berlaku, inilah persediaan kami.

“Saya juga percaya, Allah menjentik hati ramai orang dengan pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. Ramai mula berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, bercerita perjalanan kariernya yang bermula dengan Astro, Nabil berkata, syarikat penyiaran berkenaan tidak putus-putus memberikan kepercayaan untuk dia meluaskan bakatnya.

“Siapa diri saya sepanjang 13 tahun berada dalam industri, semuanya atas platform yang Astro sediakan berserta izin Allah.

“Semuanya selepas menjuarai Raja Lawak Astro hingga akhirnya saya berjaya tampil dengan karya komedi seram arahan sendiri, The Hantus.

“Saya juga bersyukur masih berpeluang bekerja ketika negara dilanda pandemik Covid-19, masih dimurahkan rezeki kerana Astro tetap meletakkan saya di pentas utama program terbitannya,” katanya.

Selain itu, Nabil berkata, dia begitu terharu apabila Astro bakal menampilkan dirinya dalam sebuah projek animasi bersiri yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Saya amat teruja. Belum boleh didedahkan semuanya lagi sekarang, tapi apa boleh saya kongsikan, jalan ceritanya berdasarkan pengalaman saya sejak kanak-kanak.

“Saya harap penonton dapat mengimbau zaman kanak-kanak mereka menonton animasi tempatan seperti Usop Sontorian dan Anak-Anak Sidek melalui naskhah itu nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS