Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shuib pilih sepupu jadi ibu susuan Ayash
Diterbitkan:  Aug 17, 2021 6:16 PM
Dikemaskini: 12:03 PM

Shuib disaran oleh doktor untuk mendapatkan susu ibu bagi anaknya yang dilahirkan secara pramatang pada 6 Ogos lalu.

Sedang menyesuaikan diri dengan pemergian isteri dikasihi Shuib mengakui ada pelbagai cabaran perlu ditempuhi setiap hari.

Antara cabaran itu kata pelakon, pelawak dan penyampai radio berkenaan ialah apabila doktor memberitahu berkenaan susu yang diperlukan bayinya yang dilahirkan secara pramatang, Ayash Affan.

Menurut Shuib, doktor menyarankan agar Ayash - yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu - diberikan susu ibu kerana ia membawa banyak khasiat dan kelebihan khususnya kepada bayi pramatang.

Justeru, kata Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, dia memilih sepupunya untuk menjadi ibu susuan anak keempat mereka itu.

“Arwah tak berkesempatan untuk memegang dan menyusukan Ayash.

“Tapi alhamdulillah, selepas berbincang dengan keluarga, ada dalam kalangan sepupu saya yang baru melahirkan anak kira-kira enam bulan lalu,” katanya sewaktu ditemubual program Melodi kelmarin.

Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia pada 9 Ogos lalu selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat jangkitan Covid-19.

Malaysiakini melaporkan pada 12 Ogos lalu, penceramah bebas Haslin Baharim memberikan beberapa jawapan bagi meleraikan kebimbangan Shuib berkaitan ibu susuan. 

Untuk rekod, Shuib dan Siti Sarah berkahwin pada 27 Februari 2011. Tiga lagi cahaya mata pasangan tersebut ialah Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun.

Bersetuju dengan sarahan Haslin, Shuib, 36, berkata sememangnya banyak perkara penting harus dititikberatkan sebelum membuat sesuatu keputusan berkaitan ibu susuan terutama dari aspek agama.

“Ya, takut juga masa depan nanti macam mana, takut terkahwin pula nanti timbul masalah,” katanya.

Pada masa sama Shuib berkata, hanya Allah dapat membalas segala kebaikan yang dihulurkan banyak pihak kepadanya untuk membantu mendapatkan bekalan susu ibu buat anaknya itu.

“Bukan Syatilla Melvin saja, ramai lagi rakan artis serta orang yang saya tak kenal sudi bantu kerana susu ibu adalah yang terbaik buat bayi pramatang.

“Saya berharap Allah dapat membalas ganjaran semua yang bersama-sama mendoakan arwah. Terima kasih juga kerana doakan kekuatan untuk diri saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS