Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi, adalah antara artis yang mengambil berat keadaan penduduk di Gaza yang sentiasa diancam tentera Zionis.
Perkara itu disampaikan Ketua Pegawai Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang menetap di wilayah bergolak itu, pagi ini.
Menurut Nadir, Siti Sarah pernah menyampaikan hajatnya untuk mengorbankan seekor lembu di sna pada Hari Raya Aidiladha yang lalu..
“Tersentap sekejap baca cerita berita daripada @shuibsepahtu tentang pemergian @sitisarahraissuddin.
“Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum Raya Haji lalu untuk dia ikuti program korban kami di Gaza.
“Ketika itu saya terkejut bila dia maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja. Seolah-olah dia sedang megejar timbangan amal kebajikannya yang terakhir,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Nadir turut memuat naik tangkap layar perbualannya dengan Siti Sarah.
Menurutnya, pada mulanya penyanyi Sandarkan Pada Kenangan itu meminta agar sedekahnya itu tidak didedahkan kepada umum.
Tetapi Allahyarham berubah fikiran selepas Nadir berkata perkongsian itu akan dapat menggalakkan umat Islam yang lain untuk turut sama bersedekah.
“Fasal nak kongsi post ini saya ingat nak diam-diam saja, tapi betul juga, mungkin salah satu tanggungjawab saya sebagai umat Islam untuk menguar-uarkan mengenai korban di sana.
“Saya izinkan, kita doa semoga Allah permudahkan urusan saudara kita di sana dan juga semoga Allah permudahkan urusan awak di dunia dan akhirat,” kata Siti Sarah dalam perbualan itu.
Siti Sarah, 36, menghembuskan nafas terakhirnya menjelang subuh hari ini, iaitu pada jam 5.13 pagi, selepas bertarung nyawa akibat Covid-19 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), menjelang subuh hari ini.
Allahyarham meninggalkan suami, Shuib dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun serta anak yang dilahirkan dua hari sebelum kematiannya.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dia dan keluarganya positif Covid-19 selepas seorang pembantunya terkena jangkitan wabak itu.
Untuk rekod, selain penduduk Palestin, Siti Sarah dan Shuib turut memberikan bantuan keperluan asas buat golongan yang memerlukan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), yang diedarkan melalui cawangan perniagaannya, antaranya di Ampang, Bangi dan Shah Alam.
Nadir berkata lagi, Siti Sarah juga sering ingin mengambil tahu mengenai keadaan saudara-saudara Islam di Palestin.
“Selepas itu dia kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin.
“Rupa-rupanya Allah takdirkan nyawa dia diambil dalam keadaan dia memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini (Gaza) yang merasa daging pada tahun ini.
“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada' akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-Fatihah,” katanya.