Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yuna impikan dunia lebih baik, sembuh dari duka Covid-19

MALAYSIANSKINI | Ketika penyanyi dan komposer lagu Yuna yang berpangkalan di Los Angeles pulang ke Malaysia atas urusan kerja pada bulan Mac 2020, dia tidak menyangka dirinya akan tinggal lebih lama dari seminggu sebelum kembali ke Amerika Syarikat.

Rancangannya berubah apabila penutupan Covid-19 pertama diumumkan di Malaysia. Dari seminggu menjadi dua minggu, kemudian sebulan dan selepas itu tiga bulan. 

Kini hampir satu setengah tahun Yuna mengharungi wabak Covid-19 di tanah air dengan pelbagai perintah kawalan pergerakan.

Walaupun hanya berkemas untuk balik selama seminggu saja, dia membuat keputusan tinggal lebih lama di Malaysia demi memastikan keluarganya selamat ketika melalui masa-masa mencabar yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Namun, dia tidak pernah membayangkan dirinya akan kehilangan ahli keluarga akibat virus yang meragut nyawa itu.

Julai lalu, Yuna membuat hantaran di Instagram mengumumkan pemergian teman dan sepupunya Amilya Saila Aminoddin (nama timangan Amy) yang menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 ketika menjalani rawatan dialisis untuk masalah buah pinggang.

Bagaimanapun, kedukaan tersebut mendorong penyanyi berusia 34 tahun itu untuk menghebahkan nasihat supaya warga tetap selamat dengan menjaga SOP dan manfaat mendapatkan vaksin.

Bukan setakat itu saja, Yuna juga percaya keperluan perkakas sukatan oksimeter (alat untuk memeriksa tahap oksigen dalam darah seseorang).

Malah, dia telah menghantarnya kepada beberapa keluarga yang terdedah Covid-19 tetapi tidak mampu membeli peranti tersebut.

Vokalis R&B/ pop itu meraih kejayaan sejak dia pertama kali disedari sebagai bakat baru di MySpace oleh syarikat pengurusan Amerika, Indie-pop.

Yuna, atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai lahir di Alor Setar, Kedah pada tahun 1986 menjadi salah seorang artis paling berjaya di Malaysia pada dekad lalu.

Dia berhijrah ke AS untuk memajukan kerjaya nyanyiannya pada awal tahun 2011.

Album dengan namanya "Yuna" menyaksikan kemunculan sulungnya di AS pada April 2012, diikuti oleh Nocturnal (2013), Chapters (2016) dan Rouge (2019).

Dia sebelum ini pernah bekerjasama dengan selebriti ternama industri muzik seperti Pharell Williams, Usher, Tyler the Creator, Jhene Aiko dan SonaOne.

Pun begitu, wabak Covid-19 menjadi tempoh cuti panjangnya daripada kerjaya nyanyian dan kini dia sedang merancang untuk kembali ke AS tidak lama lagi bagi memfokuskan penerbitan album kelima.

Awal minggu ini, Yuna yang ceria meluangkan masa untuk berbual dengan Malaysiakini melalui Zoom. Kami membincangkan kerja kerasnya pada peringkat awal penglibatan dalam bidang seni suara, albumnya yang akan datang, kesedihan dan bagaimana dia menyesuaikan diri dengan wabak COvid-19.

Yuna berkongsi kisahnya:

Saya bergelut di awal kerjaya saya dengan tidak mempunyai panduan bagaimana untuk mengetengahkan muzik saya di persada antarabangsa. Ada beberapa orang Malaysia dapat melakukannya sebelum ini, tetapi ramai orang tidak tahu betapa sukar untuk melaksanakannya. Formulanya selalu menjadi terlalu misteri buat saya.

Antara orang pertama yang berjaya melakukannya ialah Zee Avi. Dia menjadi inspirasi yang sangat besar kepada saya jadi katakan, "jika dia boleh melakukannya, maka saya juga boleh buat yang sama" kerana impian seumur hidup saya untuk mencipta karya muzik. 

Saya mesti bermula dari awal dan benar-benar mengetahui cara melakukannya.

Saya bernasib baik kerana pihak pengurusan saya menghubungi saya kira-kira 11 tahun lalu. Sebaik sahaja saya mendapat e-mel pengurus saya, saya berkata, "baiklah mari lakukan. Mari mencuba dan lihat hasilnya." Perjuangan terbesar adalah memahami proses berkenaan dan perlu melaluinya sendiri.

Saya juga memikirkan bagaimana saya mahu menggambarkan jati diri saya, yang terbukti menjadi satu perjuangan di AS. 

Itu tidak mudah, terutamanya ketika identiti anda seorang wanita Asia Tenggara Muslim yang mengenakan hijab dan cuba menempa nama di pentas muzik Amerika. Saya hanya perlu belajar dengan cepat dan membuat keputusan tepat.

Terdapat beberapa perkara sukar yang saya hadapi pada awalnya tetapi Alhamdulillah, perjalanan saya lancar selepas itu. Saya telah mengetahui kaedah gubahan lagu saya dan cara bekerja dengan orang lain. 

Latar belakang sosial berbeza sehingga saya harus mempelajarinya. Saya tidak pernah tinggal di luar negara (sebelum tinggal di AS). Saya tidak pernah mempunyai kawan di AS. 

Segala-galanya baru bermula untuk saya, dan mencari cara untuk meletakkan diri saya sebagai artis seperti yang saya lakukan di Malaysia.

Saya tidak merasa seperti saya perlu berpakaian berbeza di AS hanya untuk diterima di negara itu. Sudah tentu, saya perlu berhias pada tahap tertentu. Saya suka fesyen jadi saya benar-benar berminat kerana gaya saya berkembang dengan cara yang berbeza. Tetapi saya tidak pernah merasa seperti saya perlu membuka aurat menampakkan kaki atau menanggalkan hijab.

Tidak ada seorang pun yang saya temui di AS yang membuat saya merasa kerdil hanya kerana saya memakai hijab, kerana saya berbeza. 

Semua orang yang saya temui memahami identiti saya dan apa yang ingin saya lakukan. Saya sangat bertuah kerana mempunyai pasukan yang benar-benar menyokong dan memahami apa yang saya perjuangkan sejak awal lagi.

Peminat saya sangat memahami diri saya. Saya Yuna. Saya hanya orang biasa dan manusia biasa yang sukakan muzik, fesyen dan menghiburkan orang. 

Pada masa sama, saya juga seorang Muslim. Saya memakai tudung kerana saya suka konsep kesopanan. Saya mempunyai peminat yang faham hal ini.

Semasa saya menjelajah dari satu kota ke kota lain, peminat saya muncul dan mereka menyokong saya dan menyanyi bersama-sama. 

Saya tidak percaya orang boleh bersama-sama menyanyikan lagu saya, terutamanya di AS atau ketika saya melakukan jelajah di Eropah.

Saya tidak tahu bagaimana keadaan Hollywood sekarang. Saya yakin mereka semua kembali berparti, suatu yang tidak saya setuju, terutamanya dengan varian Delta yang ada di luar sana.

Saya memang sejak awal lebih suka duduk di rumah. Saya suka kerja saya dan itu adalah cara saya 'berpesta'. Saya boleh 'berpesta' di studio dengan sedikit makanan Thai dan berkarya untuk muzik saya. 

Sekiranya saya tiada di rumah, saya berada di studio dengan produser saya mengusahakan muzik. Saya suka itu. Itu impian saya sejak saya kecil, jadi saya tidak pernah memandangnya sambil lewa.

Kehidupan harian saya sebelum Covid-19 adalah saya akan berada di studio dari tengah hari hingga sekitar jam 5 hingga 6 petang. Saya akan pulang untuk makan malam. Saya dan suami akan memesan atau memasak makanan Malaysia.

Yuna dan suaminya Adam Sinclair.

Terdapat bahagian Hollywood yang glamor dan kadang-kadang saya akan akan berkunjung ke sana. Atau hadir tayangan perdana filem untuk menyokong rakan. Tetapi ia selalu berkisar di sekitar pekerjaan.

Sekiranya kitaran kerja penerbitan album saya selesai dan jika saya tidak melakukan jelajah persembahan, saya biasanya akan mengemas beg saya dan kembali ke Malaysia. 

Sekiranya tidak ada apa-apa di Los Angeles, saya akan pulang ke Kuala Lumpur kerana seluruh keluarga saya ada di sini.

Ini tempoh paling lama saya kembali ke Malaysia. Banyak yang telah berlaku, dan saya benar-benar bersyukur dapat berada di Malaysia dan menghabiskan masa bersama keluarga. Saya berjaya menghabiskan banyak masa dengan arwah sepupu saya yang baru sahaja meninggal dunia kerana Covid-19.

Itu adalah sesuatu yang sangat memberi kesan kepada saya. Sekiranya saya tidak berada di sini, saya tidak akan dapat mengucapkan selamat tinggal dan saya tidak dapat menghabiskan banyak masa bersamanya.

Saya belajar untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang dihadapi. Walaupun sebenarnya tidak menjadi situasi yang ideal bagi saya kerana saya masih lebih suka untuk kembali ke Los Angeles untuk berkerja, tetapi saya sangat gembira kerana saya mempunyai masa ini untuk bersantai dan berehat sedikit.

Sebenarnya, saya tidak pernah bercuti dalam 10 tahun terakhir, kecuali bulan madu saya yang berlangsung selama lima hari. Sejak itu saya bekerja tanpa henti. Ini rehat terpanjang yang saya lalui sepanjang hidup saya, dan saya sangat gembira kerana saya dapat melakukannya.

Saya berasa seperti saya boleh kembali (ke AS) lebih awal. Tetapi saya memutuskan untuk tinggal lebih lama (di Malaysia) kerana saya ingin memastikan ahli keluarga saya diberi vaksin. 

Itulah keutamaan bagi saya dan suami. Kami ingin memastikan ibu bapa kami diberi vaksin, bahawa kami diberi vaksin, lepas itu kami boleh pergi. Dan jelas, ia memerlukan sedikit masa tetapi sekurang-kurangnya sekarang kami telah diberi vaksin dan merancang untuk kembali ke AS dalam waktu terdekat.

Ramai pemuzik dan artis di Malaysia terjejas akibat penutupan. Mereka sebenarnya tidak mempunyai jalan lain. 

Anda boleh menghasilkan karya muzik tetapi mempromosikannya kurang berkesan jika anda tidak melakukan jelajah dan tidak mengadakan persembahan. Saya mengalami sedikit masalah kerana saya mula melihat manfaat jelajah persembahan.

Sekarang saya masih dapat mencipta muzik dan saya masih mempunyai peminat yang tahu siapa saya. Saya masih ada peminat untuk menyokong muzik baru saya. Oleh demikian itu, saya rasa sangat bertuah dari segi itu.

Saya memang merindukan untuk kembali bekerja, tetapi saya tidak tergesa-gesa untuk melakukan jelajah, terutamanya dengan Covid-19 masih berada di luar sana dan semua varian yang masih tidak kita fahami. Keselamatan adalah yang pertama bagi saya. Saya betul-betul mahu bertanggungjawab.

Saya ada mendapat tawaran persembahan tetapi saya terpaksa menangguhkannya sehingga keadaan betul-betul selamat menghimpunkan orang ramai di dalam bangunan yang sama, maka saya akan melakukannya. Saya sebenarnya tidak mahu orang mengalami kematian ahli keluarga akibat Covid-19.

Suatu yang mengejutkan untuk kehilangan sepupu saya, Amy. Dia dan saya akan bercakap setiap hari, walaupun mengenai Covid-19. Ia isu yang sangat kami gemar bualkan dan kami bersetuju untuk menjaga diri masing-masing. 

Malah kami juga bersetuju untuk tidak berjumpa ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. 

Semasa Amy mendapat jangkitan Covid-19, seluruh dunia saya seakan-akan... anda tahu maksud saya.

Yuna dan Amy.

Perkara utama yang perlu difahami oleh orang ketika saya bercakap mengenai Covid-19 adalah bahawa saya tidak pernah menyangka perkara itu akan berlaku kepada ahli keluarga saya sendiri. Kami selalu berhati-hati dan tidak keluar rumah apabila merasakan kesnya terlalu tinggi.

Walaupun saya hadir sesi penggambaran sebelum penutupan baru-baru ini, saya mengupah pasukan perubatan di lokasi yang membersihkan semuanya dan memastikan semua orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Saya sangat berhati-hati mengenainya dan sepupu saya juga. Kami sangat berhati-hati mengenai jangkitan Covid-19 kerana dia menghidap diabetes dan mengalami masalah buah pinggang.

Hari demi hari, kami cuba menahan kesedihan. Tetapi itu tidak mudah. Ibu sepupu saya juga berada di hospital berjuang melawan Covid-19 jadi kami tidak mempunyai masa untuk berduka dengan pemergian sepupu saya.

Ia berlaku cukup pantas. Saya benar-benar mahu orang memahami bahawa ia berlaku dalam rangkaian reaksi berantai. Keadaan kesihatan seisi keluarga dapat merosot dengan cepat. Ia cukup menyakitkan. Setiap hari kami terus berusaha untuk bergerak ke hadapan berdoa semoga arwah berada di tempat yang lebih baik.

Saya dan keluarga saya melihat Covid-19 dengan sangat berbeza sekarang. Sekarang kami lebih berhati-hati, hampir ke tahap paranoid. 

Kami tidak mahu mengalaminya lagi. Gila memikirkan sebelum ini, kita tidak ada masalah keluar rumah tetapi sekarang keluar rumah boleh menjadi perjuangan hidup dan mati bagi kita.

Mengenai menerima vaksin - saya rasa tidak perlulah disebut bahawa mengambil vaksin akan melindungi anda dan keluarga anda. 

Ini bukan masalah bagi saya. Saya mempunyai beberapa saudara yang menghidap penyakit kronik. Sekiranya (mendapat vaksin) adalah sesuatu yang akan membantu kita mengalahkan Covid-19 dan melindungi orang yang kita sayangi, maka saya akan melakukannya.

Malangnya, kami tidak dapat melakukannya dengan pantas dan kami perlu belajar dengan sukar melalui kematian di kalangan ahli keluarga.

Dalam fikiran saya, berdasarkan pengalaman ini, saya benar-benar ingin mendidik lebih ramai orang untuk membuat penilaian yang lebih baik. 

Contohnya, dengan peranti oksimeter. Saya rasa orang mungkin bosan dengan tweet dan catatan oksimeter saya, tetapi pengetahuan itu menyelamatkan nyawa ibu saudara saya.

Saya tidak tahu bahawa jika tahap oksigen anda berada di bawah 95, anda mesti pergi ke hospital kerana itu bermakna anda mungkin mengalami hipoksia (keadaan kekurangan bekalan oksigen di dalam sel tubuh). 

Arwah sepupu saya memberitahu bahawa oksigennya pada tahap 70 dan saya fikir itu tidak mengapa. Ia tak okay, tapi kami tidak tahu maksudnya.

Saya rasa penyesalan terbesar saya tidak membaca lebih banyak, dan saya benar-benar tidak mahu ada yang mengalami perkara yang sama. Saya benar-benar mahu mendapatkan maklumat di luar sana dan semoga ia dapat menyelamatkan nyawa.

Saya bahkan menghantar beberapa oksimeter kepada beberapa keluarga yang tidak mampu membeli peranti itu. Saya secara rawak menghubungi beberapa keluarga B40 beberapa kali dan menyampaikannya kepada mereka.

Kadang kala saya mencari melalui media sosial untuk mengesan sesiapa sahaja yang menyiarkan mengenai Covid-19 dan saya bertanya kepada mereka mengenai ahli keluarga mereka yang menghidap virus tersebut.

Mereka teruja pada awalnya tetapi saya katakan, "baiklah. Tapi dengarkan saya, kita harus bertindak pantas."

Mereka mungkin sedikit terkejut dengan kenyataan yang saya sampaikan kepada mereka, tetapi mereka sangat baik. Saya membantu memberikan oksimeter kepada ibu seorang gadis yang menghidap Covid-19 dan dia kini pulih sepenuhnya. Alhamdulillah.

Badan amal masih belum menghubungi saya supaya saya tidak perlu menghantar oksimeter sendiri. Mudah-mudahan, pada masa akan datang saya dapat bekerja dengan mereka, maka ini akan memudahkan kerja saya kerana saya tidak perlu memesan semua oksimeter ini sendiri dan menghantarnya.

Tetapi bagus juga untuk menolong orang secara langsung. Saya telah melakukannya pada skala kecil. Saya suka menghubungi (orang) melalui mesej langsung.

Nasihat saya kepada mereka yang ragu-ragu dengan vaksin - Cubalah untuk membuat keputusan yang lebih baik. Anda hanya perlu mendidik diri anda tentang perkara-perkara yang mungkin mempengaruhi anda dan orang di sekeliling anda. Sekiranya anda mempunyai keadaan (masalah kesihatan khusus), dapat difahami jika anda tidak mahu mengambil vaksin.

Sekiranya anda tidak (mempunyai masalah kesihatan khusus), anda mesti mendapatkan vaksin. Ini akan melindungi anda daripada menghadapi masalah kesihatan yang lebih besar di kemudian hari dan bahkan menyelamatkan anda daripada kematian oleh Covid-19.

Ingat bahawa anda perlu melindungi orang di sekeliling anda. Anda tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Sekiranya anda mengetahui bahawa salah seorang ahli keluarga anda mempunyai Covid-19, periksa mereka setiap hari dan beri mereka sokongan moral. Bayangkan pesakit bersendirian di hospital berjauhan daripada orang tersayang. Itu saya rasa amat mengerikan.

Menyedari keadaan sepupu saya, Amy berada di sana sendiri, ia melukakan saya setiap hari. Pastikan mereka (pesakit) bertindak cepat, dapatkan sokongan dan berikan kasih sayang secukupnya.

Sekali lagi, pengetahuan mengenai perkara seperti oksimeter dan vitamin akan membantu anda. Dan semoga dapat menjadikan keadaan lebih baik untuk anda.

Apa yang membuatkan saya ketawa - Suami selalu membuat saya ketawa. Dia selalu membuat jenaka dan menjadi sumber kebahagiaan saya. Kami juga mempunyai tiga anak kucing baru, mereka sangat comel dan lucu.

Dan sejujurnya, kenangan saya dengan arwah sepupu saya. Dia paling kelakar di kalangan semua ahli keluarga saya, malah orang paling lucu yang saya kenal. Dia yang terbaik. Ketika kami bercakap tentang dia, walaupun kami bersedih, kami masih boleh mentertawakan gurauannya.

Kami akan selalu mengingatinya walaupun dia sudah tiada. Sangat lucu bagaimana dia meniru selebriti tempatan dan itu masih membuat saya tersenyum. Satu kehilangan, tetapi dia berada di tempat yang lebih baik. Saya hanya merindui dia.

Saya masih memikirkan tema album saya seterusnya. Pada mulanya, ia mengenai perkara lain tetapi akhir-akhir ini, ia telah berubah. Sekarang saya akan kembali ke AS dan bersiap untuk mengerjakan penerbitan album ini, saya mempunyai idea yang berbeza untuk itu.

Siapa tahu, saya mungkin mempunyai idea yang berbeza bulan depan. Tetapi ia pasti seputar getaran single baru saya "Don’t Blame it on Love" bersama Pink Sweat$.

Saya rasa dunia memerlukan lagu-lagu penyembuhan sekarang, bukan lagu 'upbeat' untuk pesta. Walaupun kelihatan seperti keadaan akan kembali normal, saya merasakan kita masih dapat menghargai sesuatu yang lebih melegakan dan menenangkan.

Saya baru-baru ini mendengar semula album "Yuna" 2012 saya, dan saya sangat menyukai album itu sehingga saya mungkin melakukan sesuatu yang serupa - sedikit lebih melodi dan murni.

Apabila saya kembali ke Los Angeles, saya pasti rindukan nasi daun pisang. Tidak ada yang serupa dengannya di sana. Ini makanan kegemaran saya. Saya mengumpul nota resepi cara memasak kari yang baik kerana kami tidak dapat menjumpai sesuatu seperti itu di Amerika.

Saya juga akan merindui kucing-kucing saya - saya cukup rapat dengan mereka. Mereka juga melekat pada saya, tetapi saya tidak dapat membawanya dalam penerbangan 17 jam, jadi mereka akan bersama ibu bapa saya.

Saya akan merindui keluarga saya. Pada masa ini kami 'terkandas' dalam satu rumah dan rasanya seperti berada dalam episod siri TV "Full House". Selalu ada sesuatu yang berlaku, kami sering bergurau mengenai sesuatu. Saya pasti akan merindukan hal itu.

Saya mahu dunia sembuh dan menjadi tempat yang lebih baik. Saya tidak mahu ia sekadar kembali normal, tetapi berubah menjadi keadaan yang lebih baik.

Satu tempat di mana kita telah belajar banyak perkara mengenai diri kita, dan memperjuangkan perkara-perkara yang penting. Itu impian saya.

[Baca laporan asal]


MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.


Klik untuk siri terdahulu di bawah:

Douglas Lim - dari pentas 'stand-up' ke video parodi

Iklim dalam krisis: Ili Nadiah tak boleh diam

Kisah seniman dan sepohon avokado

Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

Menanam harapan di Bangsar dan Bangladesh

Pereka cipta muda: Tak mudah capai kejayaan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS