Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM gerakkan inisiatif sendiri untuk vaksinasi penggiat seni
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 4:59 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Inisiatif Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) membolehkan 98 peratus ahli mereka mendapat vaksin Covid-19 dengan baki dua peratus lagi memilih untuk tidak disuntik.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata 61 peratus daripada ahli persatuan itu sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing manakala 37 lagi sudah mendapat dos pertama.

"Menjelang akhir Ogos nanti, 100 peratus ahli FDAM akan lengkap menerima dua dos vaksin melalui program vaksin berkelompok FDAM.

"Kami telah bersiap siaga untuk turun ke lapangan meneruskan kerja-kerja penggambaran yang menjadi punca utama rezeki kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Industri perfileman adalah antara sektor yang terjejas teruk dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijalankan kerajaan sekarang.

Tanpa gaji tetap kebanyakan penggiat seni berdepan masalah ekonomi apabila tidak dapat mencari pendapatan dan kegiatan penggambaran pula dikekang dengan pelbagai syarat.

Ahmad berkata sebelum ini FDAM didesak supaya mengatasi isu vaksinasi dalam kalangan penggiat seni supaya mereka boleh kembali bekerja.

Justeru katanya FDAM mengutus surat permohonan dan saranan kepada Jabatan Kesihatan Selangor untuk meluluskan pelaksanaan pemberian vaksin secara berkelompok.

Baru tersedar dari lamunan

Katanya cadangan itu diterima Jabatan Kesihatan Selangor dan menyediakan kuota sebanyak 400 orang.

"Di samping itu pusat pemberian vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil di bawah Pusat Kesihatan Daerah Cheras juga memberi laluan selama dua minggu kepada penggiat seni.

"Setakat ini penerima vaksin anjuran FDAM telah mencapai 1,037 orang yang terdiri daripada pelbagai penggiat seni, bukan hanya ahli FDAM saja.

"Vaksinasi ini juga melibatkan ahli keluarga penggiat seni. Ahli FDAM dan penggiat seni yang lain telah menyahut seruan kami untuk divaksin termasuk dari Johor, Melaka dan Kelantan," katanya.

Pada masa sama Ahmad menyampaikan ucapan terima kasih FDAM kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah yang menyeru agar proses vaksinasi untuk penggiat seni disegerakan.

"FDAM mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh menteri.

"Namun sayang sekali apabila seolah-olah menteri itu baru tersedar dari lamunan, atau masih lena diulit mimpi.

"Sepatutnya menteri atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) merancang perkara ini tiga bulan yang lalu, barulah boleh mengharap pada hari ini!," katanya.

Menurut Ahmad sekarang kerajaan membuka pintu kepada sesiapa saja yang layak untuk menerima vaksin tanpa perlu membuat janji temu lebih awal.

Ketika FDAM memohon supaya Finas mengambil inisiatif untuk menjadi PPV kepada penggiat seni mereka, kata Ahmad, saranan itu ditolak dan mereka disuruh untuk mengikut prosedur yang sedia ada saja.

"Kemudian dihebohkan mereka akan wujudkan PPV di Finas. Ketua Pegawai Eksekutif Finas diberitakan berjumpa dengan Menteri Penyelaras Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaludin, namun tiada apa pun yang terjadi," katanya.

Menurut Ahmad FDAM berpegang kepada prinsip, kalau pihak yang berkenaan enggan bertindak, mereka sendiri akan melakukannya sebagai melunaskan tanggungjawab.

"Semuanya kena bergerak pantas, tak perlu bincang panjang-panjang, tak perlu umum banyak kali. Buatlah saja!" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS