Seperti yang dijanjikan, pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun akhirnya menerima surat tawaran untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dalam satu majlis diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.
Dokumen itu diserahkan kepada Fendy, yang merupakan bapa tunggal dan OKU penglihatan, oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Menurut Annuar, dia mendapat tahu tentang kesukaran yang dihadapi Fendy melalui media sosial dan cuba menghubunginya sendiri bagi mendapatkan kepastian berkenaan perkara itu.
“Hasil semakan mendapati Fendy sudah lama memohon untuk mendapatkan rumah, iaitu sejak 2014. Namun, permohonan itu belum berjaya.
"Ini kerana bukan semua rumah di bandar raya sesuai. Pihak kami perlu memastikan ada kriteria tertentu terlebih dulu seperti lokasi yang bersesuaian,” katanya ketika sidang media yang disiarkan secara maya tadi.
Menurut Annuar, Fendy dan anaknya, Nur Azalea Zafirah, 6, menerima kediaman PPR di Taman Mulia, Bandar Tun Razak.
Katanya lagi, lokasi itu strategik dan bersesuaian dengan Fendy kerana berdekatan dengan beberapa kemudahan awam.
“Fendy dan anaknya ditempatkan di lokasi dua bilik yang mempunyai transit aliran ringan (LRT) dan beberapa kemudahan lain mengikut faktor dirinya dan anaknya.
“Apa yang penting adalah kos dan kemampuan Fendy untuk membayar sewa rumah. Saya lihat dia ada usaha untuk mencari pendapatan namun disebabkan perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan, usaha itu terhad,” katanya.
Anggota Parlimen Ketereh itu menyuarakan harapan agar usaha Fendy untuk terus menjana pendapatan sebagai penghibur jalanan atau busking akan dipermudahkan apabila situasi Covid-19 di negara ini semakin pulih.
“Saya doakan apabila keadaan semakin pulih, dia boleh kembali meneruskan kariernya. Semoga dia dipermudahkan rezeki dan dapat mempunyai simpanan atau pun membeli rumah yang lain selepas ini.
“Sebenarnya, ramai lagi rakyat terkesan di luar sana, sebab itu, saya adakan dasar pengecualian diskaun 50 peratus bayaran sewa perumahan awam dan PPR sampai hujung tahun ini dan beberapa kemudahan yang kami rasakan mampu meringankan beban ditanggung golongan B40,” katanya.
Sementara itu Fendy ketika dihubungi Malaysiakini berkata, penantian tujuh tahunnya berakhir dengan kegembiraan apabila bertemu Annuar hari ini.
Dia memaklumkan mungkin menerima kunci rumah itu minggu depan dan akan mula membawa masuk sedikit demi sedikit barang-barangnya ke rumah tersebut.
“Saya bersyukur dan sangat gembira, penantian tujuh tahun yang lama sudah berakhir.
“Sebelum berpindah masuk, saya perlu memeriksa sekiranya ada yang perlu dibaiki atau pun tidak. Saya akan pindah masuk sikit-sikit (barang), pinjam kereta kawan,” katanya.
Dia turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Annuar kerana membantunya mendapatkan rumah itu.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada menteri (Annuar) yang terus menghubungi saya bagi bertanyakan hal ini. Tak pernah ada menteri telefon saya sebelum ni.
“Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat Rina Harun yang berkunjung ke rumah dan memberi bantuan baru-baru ini serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang memberi sumbangan drum elektrik, ” katanya lagi.