Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Kali terakhir saya hubungi malam tadi, Sarah bagitahu; Sarah OK, Sarah nak berehat kak,” demikian luah penyanyi Siti Sarah kepada pengurusnya Nana Mohd Rom.

Nana berkata, suami Siti Sarah, Shuib turut memaklumkan keadaan isterinya itu pada pagi ini juga dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras berikutan tahap oksigen yang semakin menurun malam tadi.

“Shuib beritahu Sarah ada hubungi dia tadi dan bagitahu keadaannya baik. Cuma doktor belum bagitahu laporan penuh,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut Nana, Siti Sarah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

Katanya, sepatutnya, penyanyi Ku Teruskan itu memotong gelang kuarantinnya semalam.

“Namun, dia mengalami batuk dan ketidakselesaan.

“Keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan akibat batuk dan penurunan oksigen dalam badan membuatkan Sarah terpaksa mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Siti Sarah dibawa dengan ambulan kira-kira pukul 6.30 petang untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Untuk rekod, sebelum ini Siti Sarah, 36, mendedahkan perasaan bimbangnya sebaik mengetahui seorang pembantu rumahnya positif Covid-19. 

Katanya, kebimbangannya itu tercetus memandangkan kandungannya sudah mencecah tujuh bulan ketika itu. 

Keesokan harinya, Siti Sarah memaklumkan anggota keluarganya turut dijangkiti wabak berkenaan.

Sementara itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 36, memohon orang ramai mendoakan isterinya yang sedang hamil itu.

“Saya mohon doakan isteri saya Siti Sarah Raisuddin. Doakan dia dan anak dalam kandungan diberikan kesihatan kembali dan dipermudahkan segala urusan.

“Allah maha segalanya,” katanya melalui Instagram.

Siti Sarah berkahwin dengan Shuib, pada 27 Februari 2011.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS