Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengusaha pawagam mohon dimasukkan ke kategori 'industri terpilih'
Diterbitkan:  Aug 4, 2021 6:14 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Tiada alasan untuk industri pawagam terus ditutup sementara industri ‘terpilih’ dibuka semula dalam keadaan dan kelonggaran baru.

Justeru, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) memohon kerajaan mempertimbangkan pembukaan semula pawagam kepada individu yang sudah menglengkapkan pengambilan vaksin.

Pengerusi MAFE, Mohd Ghazali Mohd Seth, berkata keputusan mengenai pemilihan sektor penting dan tidak penting perlu diubah kerana vaksinasi untuk rakyat Malaysia mula dijalankan secara besar-besaran.

“Oleh kerana kerajaan sedang mempertimbangkan kembali pembukaan sektor terpilih bagi mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya, industri pawagam memohon untuk menjadi sebahagian dari kelonggaran dan mendapat hak istimewa tersebut.

“Walaupun merupakan antara industri dengan prosedur operasi standard (SOP) paling ketat termasuk penjarakan fizikal dalam pawagam dan pemakaian pelitup muka sepanjang masa ketika tidak makan atau minum, pawagam sering menjadi sektor perniagaan pertama yang ditutup dan perniagaan terakhir yang dibenarkan dibuka semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohd Ghazali, sejak awal 2021 pawagam Malaysia ditutup lebih dari 150 hari mengakibatkan kerugian besar kepada sektor perfileman negara dan masa depannya.

Perbezaan ketara itu menurutnya boleh dilihat dari tahun-tahun sebelumnya, iaitu industri berkenaan secara kolektif menyumbang lebih RM1.08 bilion pendapatan dan lebih RM250 juta dalam bentuk cukai hiburan kepada negara.

“Walaupun tidak pernah ada kes jangkitan dari pawagam, pengusaha pawagam diarah menutup pawagam mereka selama lebih 200 hari pada tahun lalu yang mengakibatkan kerugian lebih RM500 juta secara keseluruhan dan 90 peratus pendapatan dari tahun ke tahun.

“Penutupan tanpa rela ini melumpuhkan industri dengan lebih 20,000 rakyat Malaysia sebagai tenaga kerja di sektor ini terancam mata pencarian mereka dengan kehilangan pekerjaan dan pemotongan gaji yang banyak, manakala pemamer turut menghadapi penutupan pawagam secara tetap dan pengurangan operasi yang ketara.

“SOP kami adalah antara yang paling ketat iaitu tidak membenarkan penonton berlegar-legar dalam pawagam, pemakaian pelitup muka 100 peratus sepanjang masa, dan penjarakan tempat duduk penonton,” katanya.

Pemulihan kesihatan mental

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, berita baik akan diumumkan buat mereka yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Muhyiddin berkata, kelonggaran SOP itu akan diumumkan sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan dan aktiviti makan di restoran dalam beberapa hari lagi.

Untuk rekod, penutupan berpanjangan tahun lalu menyaksikan pengunduran pemamer ketiga terbesar di negara ini, MBO Cinemas dari industri berkenaan.

Secara keseluruhan, lebih daripada 25 peratus pawagam di seluruh negara menghentikan operasi secara kekal disebabkan penutupan jangka panjang. MAFE menjangkakan jumlah tesebut akan meningkat jika pawagam tidak dibenarkan dibuka semula.

Tambah Mohd Ghazali, tanpa sokongan kewangan daripada kerajaan, pengusaha pawagam juga tidak berupaya mempertahankan perniagaan kerana mereka perlu terus melabur dalam penyelenggaraan harian dan mengekalkan pekerja.

Menurutnya, dengan peraturan baru iaitu hanya membenarkan penonton yang menerima vaksinasi penuh untuk masuk ke pawagam, MAFE yakin pawagam akan menjadi tempat yang selamat untuk mencari ketenangan dan ia sangat penting untuk pemulihan kesihatan mental rakyat.

“Memandangkan hasrat kerajaan untuk membuka kembali industri terpilih untuk memberi kelegaan kepada mereka yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya, pembukaan semula pawagam kini menjadi lebih penting dari sebelum ini selepas rakyat Malaysia menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih dari setahun dan kini mungkin mengalami kemerosotan kesihatan mental.

“Pawagam berupaya menyediakan tempat yang selamat untuk merehatkan minda dengan harga yang berpatutan kepada pengunjung yang telah mendapat vaksinasi, serupa terapi untuk kesejahteraan emosi dan mental,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS