Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hafiz akui tertekan asyik dituduh, ditanya kerana perubahan badan

Meskipun susuk tubuhnya dilihat menunjukkan perubahan ketara berbanding dulu, penyanyi Hafiz Suip mengakui dia sebenarnya masih sihat seperti biasa.

Bahkan kata Hafiz, dia sebenarnya tertekan apabila sering diajukan pelbagai soalan berkaitan kesihatan dirinya itu hingga kadang-kadang pihak yang bertanya dianggap tidak sensitif terhadap emosinya.

Mereka juga dirasakan hilang adab dan sopan terutama apabila perkara itu dilemparkan di media sosial.

“Soalan ditanya membabitkan ibu bapa, isteri dan mentua. Kalau kamu yang ditanya begitu, tertekan tak?

“Memang tertekan sebab saya manusia biasa, menjadi artis hanyalah sebuah kerjaya. Jika manusia biasa dilempar bermacam-macam tuduhan memang boleh tertekan.

“Saya sihat, tapi apa yang orang lain nak sampaikan daripada pertanyaan mereka? Sekiranya mereka benar-benar prihatin saya ucapkan alhamdulillah,” katanya.

Menurutnya, setiap tuduhan ibarat seseorang mendoakan perkara negatif kepadanya dan itu memang ingin dijauhi.

Macam mimpi jadi nyata

Jika dituduh sakit berulang kali, kata Hafiz, pada suatu hari nanti dia mungkin benar-benar sakit kerana apa yang keluar dari mulut seseorang mungkin menjadi doa.

“Sampai ada yang bertanya saya kacipkah, hisap dadahkah atau keluarga tak bagi makanlah. Jika nak bertanya biarlah ada adab. Kalau tidak, yang mana satu sebenarnya (prihatin atau tak)?” katanya.

Pemilik nama penuh Mohamad Hafiz Mohamad Suip itu berkata demikian pada sidang media secara maya sempena promosi single Berakhirlah Pencarianku hari ini. Lagu itu dinyanyikan secara duet bersama Ernie Zakri.

Bagi Hafiz, sekiranya ingin bertanya khabar seseorang, perkara paling dirasakan wajar adalah dengan menghubungi mereka secara peribadi bagi mendapatkan kepastian.

Jelasnya, bermacam-macam ikhtiar juga sudah dilakukan seperti yang dicadangkan oleh orang ramai.

“Semua yang berlaku datang dari Allah SWT. Bukan saya tak pernah berusaha jalankan pemeriksaan perubatan.

“Ada juga saya berjumpa ustaz tapi semua asbab saya pergi jawapannya OK,” katanya tanpa menjelaskan dengan lebih terperinci.

Untuk rekod, pemenang empat kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) itu sebelum ini pernah memaklumkan di media sosial dia mengalami masalah tergelincir tulang belakang (slipped disc) hingga dimasukkan ke sebuah hospital di Subang Jaya, Selangor pada 2015.

Dia kemudian mengalami masalah sama pada 2018.

Sementara itu, mengulas mengenai Berakhirlah Pencarianku, Hafiz berkata, tidak ada sebab untuk dia menolak tawaran yang diterimanya.

“Alhamdulillah, bagi saya ini projek yang boleh diibaratkan mimpi menjadi kenyataan kerana dapat juga berduet dengan Ernie. Sebelum ini, saya pernah menyaksikan persembahan duetnya dengan protege saya. Pada masa sama dia juga seorang guru vokal.

“Orang lepas menang AJL ke-35 takkan nak tolak. Dapat peluang berkongsi studio, subhanallah, satu perkara yang sangat baik,” katanya.

Menurut Hafiz, kolaborasi menerusi Berakhirlah Pencarianku itu juga memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman yang ada, justeru dia berharap lagu itu mendapat penerimaan positif peminat.

“Apa yang saya lalui selama ini menjadi pengalaman. Mungkin itu juga yang membuatkan orang nampak saya di tahap sekarang. Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya kena belajar.

“Saya dan Ernie juga sudah memberikan yang terbaik untuk peminat kami, saya berharap mereka dapat menerima lagu tu dengan hati terbuka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS