Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hina gelandangan? Irama lapor polis, pempengaruh minta maaf
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 3:51 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama) malam tadi membuat laporan polis berhubung sebuah video tular yang menunjukkan tindakan seorang pempengaruh (influencer) yang didakwa memalukan gelandangan tua atas alasan motivasi.

Presiden Irama, Ayob Abdul Majid berkata, satu kenyataan tegas perlu diambil kerana terlalu banyak aksi tidak beretika atau tidak beradab dilakukan golongan berkenaan, bahkan secara tidak langsung tempiasnya boleh terkena artis.

“Bila ini berlaku, reaksi warganet akan segera mengaitkan tindakan itu sebagai perilaku artis.

“Ini membimbangkan kami dalam jangka masa panjang kerana tindakan mereka menyebabkan nama golongan artis terpalit sama.

“Lebih menakutkan ramai antara pempengaruh ini sememangnya akrab dengan golongan selebriti yang menyebabkan setiap tindakan mereka juga boleh dikira sebagai tindakan artis atau direstui oleh artis,” katanya dalam kenyataan.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor.

Terdahulu, Carl Samsudin yang juga usahawan mengundang perhatian umum selepas memberikan ceramah motivasi bertajuk Ubah Hidup pada 20 gelandangan di Pusat Transit Gelandangan di Kuala Lumpur.

Susulan itu, ruang komen media sosial miliknya dibanjiri kecaman kerana didakwa meninggikan suara kepada seorang warga emas yang muncul di depannya ketika memberikan ceramah tersebut.

Dia turut dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak mengenakan pelitup muka sewaktu berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, peguam Carl, Emma Sakira dilaporkan berkata video asal disunting, disiarkan sebahagian saja dan ditularkan pihak tertentu dengan tujuan untuk menjatuhkan Carl.

‘Tiada niat hina sesiapa’

Carl turut tampil menjernihkan keadaan dengan tampil memohon maaf dan menjelaskan dia tiada niat untuk menghina sesiapa terutama warga emas tersebut melalui Instagram miliknya hari ini.

“Selama saya hidup, tak pernah berlaku biadab kepada sesiapa terutama kepada warga tua. Saya sedaya upaya cuba menghormati semua golongan.

“Jika petikan video itu dirakam memaparkan saya seolah-olah tidak beradab dengan pakcik tersebut, saya betul-betul mohon maaf atas tidak keberadaban saya.

“Sebelum, semasa dan selesai bercakap saya menyantuni pakcik dan semua gelandangan dengan baik sebab tu saya tak terfikir ada sesuatu kurang baik serta memuat naik video tersebut di media sosial saya. Saya mohon maaf,” katanya.

Berkongsi kejadian tersebut, kata Carl, awalnya, dia bertanya sesiapa yang sukarela untuk kongsikan cerita hidup yang membuatkan mereka kesal dan ingin bangkit semula.

Katanya, pak cik itu kemudian mengangkat tangan dan tampil ke depan.

“Berdasarkan jawapan pakcik tu, saya kongsikan dengan cara yang agak bersemangat, tiada niat untuk menyergah dia. Siapa pernah hadiri ceramah motivasi saya pasti faham macam mana penuh semangat saya bercakap,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS