Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Alami selesema dan susah bernafas, rupanya Habsah positif Covid-19
Diterbitkan:  Jul 28, 2021 5:54 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, tidak menjangka kunjungan ke hospital untuk rutin tahunannya sambil merujuk kepada pakar kerana mengalami selesema dan sedikit kesukaran bernafas membawa kepada khabar yang tidak diharapkannya.

Dia didapat sudah dijangkiti Covid-19.

Habsah yang kini dirawat di sebuah pusat perubatan di Damansara, Petaling Jaya, berkata pada awal dia pergi ke situ kerana mengalami selesema dan sedikit sesak nafas.

“Saya pergi hospital bukan kerana mahu menjalani ujian calitan. Saya mahu buat pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Ketika itu, memang saya ada selesema dan sedikit sesak nafas.

“Selepas pemeriksaan, doktor memaklumkan saya menunjukkan gejala Covid-19 dan perlu menjalani ujian calitan," katanya dipetik BH Online hari ini.

Selepas pemeriksaan lanjut dibuat, kata Habsah, doktor mengesahkan dia positif.

Terdahulu, berita Habsah, 71, disahkan positif Covid-19 dikongsi anak mereka, Leen Mohd di akaun Facebook penulis dan usahawan itu pada pagi tadi.

Selain Habsah, turut disahkan positif Covid-19 ialah suaminya, Mohamed Jusoh yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Penulis lirik Merisik Khabar itu berkata, dia dalam keadaan baik, cuma buat masa ini terpaksa menggunakan alat bantuan oksigen untuk bernafas.

“Saya anggap ini semua adalah ujian Allah dan reda. Walaupun sudah lengkap dua dos vaksin dan hanya duduk di rumah serta sudah lama tak berjumpa orang, kalau hendak kena, kena juga.

“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kami,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS