Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FDAM agih 500 bakul makanan kepada penggiat seni terjejas
Diterbitkan:  Jul 18, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), mengagihkan 500 bakul makanan kepada penggiat industri kreatif yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Agihan yang dilaksanakan melalui program RESQ Anak Seni itu dijalankan secara berperingkat di seluruh negara bermula di Lembah Klang serta Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan.

Presidennya Ahmad Ibrahim berkata bantuan berkenaan diagihkan kepada ahli FDAM dan persatuan lain merangkumi pengarah, penerbit, kru produksi, pelakon dan penyanyi selain golongan yang menurutnya sering terpinggir seperti pelakon tambahan, penari, kru teater dan buskers.

“Pemberian sumbangan ini adalah atas rasa tanggungjawab sebagai seorang pengarah terhadap pengorbanan anak seni di belakang tabir yang banyak berjasa pada seorang pengarah.

“Mereka adalah anak buah pengarah ketika di lapangan dan kita harus hargai jasa-jasa mereka kerana tanpa mereka siapalah pengarah. Senang mereka, senang pengarah. Susah mereka, susah pengarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama Ahmad Ibrahim menyuarakan harapan agar lebih ramai pihak, termasuk di kalangan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dapat menghulurkan bantuan kepada golongan seni.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melarang kegiatan seni seperti persembahan dan penggambaran daripada dijalankan, menjejaskan pendapatan kebanyakan yang bergiat dalam industri tersebut.

Awal minggu ini, sebuah kumpulan bernama Deligasi Anak Seni (DAS) melancarkan kempen Apa Khabar Anak Seni yang antara lain mengeratkan silaturahim di kalangan penggiat seni.

Kempen berkenaan ingin mengambil maklum tentang keadaan mental, emosi, kewangan, juga kehidupan semasa pekerja industri kreatif dan bagaimana mereka boleh menggunakan kemahiran masing-masing.

Sementara itu, Ahmad Ibrahim berkata FDAM menyasarkan 100 peratus pengarah dan penggiat seni yang terlibat dalam kerja di lapangan berpeluang menerima vaksin, selepas pihanya berjaya mendapatkan ruang untuk suntikan vaksin secara berkelompok.

“FDAM menyasarkan 100 peratus pengarah dan penggiat seni yang bekerja di lapangan mengambil peluang untuk terbabit dalam program vaksin ini,” katanya.

FDAM akan menghantar senarai nama mereka yang memohon suntikan vaksin kepada Kementerian Kesihatan pada 19 Julai ini, katanya lagi.

Menurutnya, program itu dibuka untuk pasangan suami isteri pengarah dan penggiat seni dan anak mereka berusia 18 tahun ke atas, yang menetap di Lembah Klang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS