Seorang pemimpin Pemuda Negara mencadangkan agar kerajaan memberikan vaksin secepat mungkin kepada pemuzik jalanan dan selepas itu membenarkan mereka membuat persembahan di pusat pemberian vaksin (PPV).
Menurut Dr Afif Bahardin dengan cara itu pemuzik jalanan terbabit boleh menjana pendapatan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) terus dilaksanakan..
“(Sediakan) mini stage (pentas mini). Jadi mereka pun adalah pendapatan tambahan.
“Live music sambil-sambil (orang ramai) tunggu vaksin,” ciapnya di Twitter hari ini.
Afif yang juga merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menanda Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, pelakon Bront Palarae, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Bront kemudian menyambut baik cadangan Adun Seberrang Jaya itu dan berharap supaya ia mendapat pertimbangan dari pihak kerajaan.
“Amatlah dialu-alukan YB @afifbahardin. Sememangnya akan dapat membantu meringankan beban mereka.
“Moga dapat dipanjangkan ke peringkat kementerian agar dapat diperhalusi dan diluluskan segera,” ciapnya.
Sejak wabak Covid-19 melanda, industri hiburan antara yang terjejas teruk terutamanya apabila negara melaksanakan PKP pada Mac tahun lalu.
Meskipun ketika keadaan beransur pulih, mereka kembali terkesan apabila situasi penularan jangkitan Covid-19 bertambah buruk di negara ini.
Dengan adanya pelbagai sekatan serta syarat pematuhan ketat prosedur operasi standard, kebanyakan mereka tidak lagi boleh bergiat untuk mencari rezeki seperti biasa.