Vokalis Dadali Band, Dyrga mendedahkan, penggambaran video muzik terbaru kumpulan itu terlalu ‘mahal’ harganya kerana ia harus dibayar dengan dua nyawa anggota band tersebut.
Dyrga berkata, penggambaran dijalankan pada Jun lalu itu disyaki menjadi punca Rixx dan Yuda dijangkiti Covid-19 hingga meragut nyawa kedua-duanya.
“Kami mempunyai tujuh lagu baru, video klip yang memakan nyawa, semoga meledak di pasaran,” katanya di media sosial.
Berdasarkan hantaran dimuat naik Dyrga di Instagram, kali terakhir Dadali menjalankan penggambaran video muzik tersebut adalah pada Jun lalu.
Pada 4 Julai kemudian, Dyrga berkongsi hasil ujian calitan yang menyatakan dirinya positif Covid-19. Bahkan, katanya, pada saat itu, dia turut mengalami ruam di seluruh badan.
“Covid-19 ni bukan bercanda, varian Delta ni bukan gurauan,” tegasnya.
Pendedahan Dyrga itu sekali gus menjelaskan penyakit dideritai Yuda tambahan pula urusan jenazah allahyarham hanya melibatkan anggota keluarga.
Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan laporan, pemain keyboard, Rixx atau Rick Madenda dan gitaris, Yuda meninggal dunia kurang dalam tempoh seminggu.
Dyrga turut memuat naik perbualan WhatsApp di antara dia dan Rixx di Instagram yang menunjukkan seolah-olah pemuzik terbabit sebelum ini menunjukkan tanda akan pulih.
Untuk rekod, Dadali Band, kumpulan muzik dari Bogor yang ditubuhkan pada 2009 pernah mencipta nama dan populariti di Malaysia menerusi lagu Di Saat Aku Mencintaimu, sebelum Indonesia.
Selain Dyrga, Rixx dan Yuda, kumpulan yang juga popular melalui lagu Disaat Aku Tersakiti, Disaat Aku Pergi dan Disaat Patah Hati itu turut dianggotai oleh Rickarjd (gitaris), Fadel (bes) dan Oq (dram).
Menurut Dyrga, kehilangan dua sahabatnya itu amat mendukacitakan. Namun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menghidupkan Dadali Band.
“Dalam seminggu ini, seminggu yang berat buat saya, Richard, Eka, harus kehilangan dua sahabat. Kehilangan dua sahabat yang memang dekat sangat dengan saya.
“Saya harus berjuang untuk Dadali Band. Saya akan kembali ke dunia muzik, semua tentang muzik.
“Dyrga Dadali akan tetap berkarya bersama-sama rakannya yang masih hidup. Mereka akan membuat Rixx Dadali dan Yuda Dadali tersenyum dan bangga. Semangat Dadali, go Dadali,” katanya yang sudah dinyatakan negatif Covid-19, meskipun deria baunya masih belum pulih sepenuhnya